Tingkat pengurusan hutan lestari

KUCHING: Seramai 15 orang peserta dari agensi perhutanan dari Sarawak mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Perhutanan Sabah, semalam.

Lawatan berkenaan berkaitan dengan Pelaksanaan Sabah Timber Legality Assurance System (TLAS) dalam pengurusan sumber hutan ke arah kelestarian dan tadbir urus hutan yang baik.

Peserta delegasi merupakan pegawai-pegawai daripada Jabatan Hutan Sarawak, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kemajuan Kayu Sarawak (STIDC), Sarawak Corporation Sdn Bhd, Hardwood Timber Sdn Bhd dan Sarawak Timber Association. Timbalan Pengarah Hutan Sarawak selaku ketua delegasi lawatan, Jack Liam berkata, antara objektif utama lawatan kerja tersebut adalah untuk memperkasakan Pelaksanaan Inisiatif Sarawak Timber Legality Verification System (STLVS) di Sarawak.

“Melalui perkongsian maklumat serta pengalaman berhubung mekanisme pelaksanaan TLAS, ia sekali gus menjadikan TLAS sebagai penanda aras kepada pengukuhan pelaksanaan STLVS di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu, Sabah semalam. Antara pengisian lawatan kerja selama tiga hari itu ialah taklimat mengenai latar belakang TLAS di Sabah dan Pelan Tindakan pelaksanaan TLAS.

Taklimat mengenai keberkesanan TLAS dalam urus tadbir dan pengurusan hutan lestari juga diadakan serta perbincangan dua hala berkaitan isu-isu berkaitan perkembangan TLAS dan STLVS. Selain itu, delegasi mengadakan lawatan ke Innawood Sdn. Bhd Sandakan iaitu sebuah kilang pemprosesan kayu yang telah melalui Audit Dalaman dan mendapat Sijil Pematuhan TLAS.

Peserta lawatan juga dibawa untuk melawat kawasan lesen balak iaitu KTS Plantation Sdn Bhd bersama-sama dengan pasukan Unit Audit tentang Sistem Pengauditan Audit Dalam dan Pematuhan TLAS. Turut serta adalah Penolong Pengarah Hutan Bahagian Pencegahan dan Penguatkuasaan, Sulaiman Jamahari dan Penolong Pengarah Hutan Bahagian Hasil dan Ekonomi, Latifah Teh.

TERIMA… Jack Liam menerima cenderahati daripada wakil Ketua Konservator Hutan Sabah.

Suara Sarawak