Trending

Tingkat potensi pelancongan Betong

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

BETONG: Potensi Bahagian Betong sebagai destinasi pelancongan bakal dibangun dan dieksploitasikan untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat tempatan.

Uggah menghadiri Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak di Rh Anyie Rajit ,Matop, Spaoh.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, untuk tujuan tersebut beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Menteri Pelancongan Datuk Seri Tiong King Sing dalam masa terdekat.

“Saya dan wakil rakyat lain di bahagian ini merancang untuk mengadakan beberapa program untuk meningkatkan ekonomi rakyat tempatan.

“Antaranya menjadikan Betong sebagai pusat pengeluaran barangan kraf tangan tradisional masyarakat Iban seperti pua kumbu, tenunan, pakaian serta peralatan tradisional. Malah sekarang kita sudah mempunyai pusat kraf tangan sendiri.

Antara peserta yang membuat persembahan pada Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak di Rh Anyie Rajit ,Matop, Spaoh.

“Justeru, saya akan berbincang dengan Tiong untuk beliau mengusulkan perkara tersebut di peringkat Persekutuan bagi membantu kita meningkatkan potensi pelancongan di sini,” katanya.

Adun Bukit Saban itu berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak anjuran Persekutuan Pelancongan Sarawak di Rh Anyie, Matop, Spaoh, malam tadi.

Mengulas lanjut katanya, Betong sememangnya kaya dengan produk pelancongan yang mampu menarik pelancong luar mahupun dalam negara.

“Dalam masa yang sama kita mempunyai rumah-rumah panjang yang unik, alam semula jadi yang indah, air terjun serta adat dan budaya yang masih terpelihara.

“Selain itu, kerajaan juga akan membina replika kubu Rentap di Bukit Sadok untuk dibangunkan sebagai daya tarikan pelancong,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru kerjasama daripada masyarakat tempatan untuk menjayakan rancangan tersebut kerana ia akan membuka peluang kepada usahawan untuk menjana pendapatan tambahan.

“Dengan tarikan pelancongan ini, kita boleh mempamerkan cara hidup kita dan berkongsi dengan dunia luar tentang budaya dan tradisi kita.

“Ini sekali gus menunjukkan lagi makna sebenar cogan kata ‘Segulai Sejalai’ dan memastikan bahawa kita semua terus bersatu padu,” tegasnya.

Terdahulu, majlis tersebut dihadiri ratusan masyarakat tempatan dan luar negara termasuk dari Australia, Poland, Amerika Syarikat, China, Thailand serta Brunei.

Rumah panjang yang dibina pada tahun 1943 itu dipilih sebagai lokasi sambutan pada tahun ini kerana struktur uniknya yang dibina daripada kayu belian dan dihiasi tengkorak kepala berusia lebih 200 tahun, simbol kepahlawanan dan warisan budaya yang kaya.

Hadir sama, mantan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu; Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu; Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu, ADUN Machan Allan Siden Gramong serta pengerusi penganjur majlis Datuk Robert Lawson Chuat.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru