KUCHING: Semua penternak babi di Sarawak diingatkan untuk meningkatkan biosekuriti ladang masing-masing dengan memiliki kemudahan seperti celup kaki atau kenderaan yang utuh.
Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ia penting susulan virus demam babi Africa (ASF) telah menular di beberapa ladang babi di negeri ini.
“Penternak juga perlu mengenali tanda-tanda klinikal ASF seperti kematian tinggi pada ternakan, demam panas, kesukaran bernafas, kemerahan atau lebam pada kulit, hilang selera makan, murung, muntah, cirit-birit, bengkak sendi, luka (ulser) kulit dan hidung berair,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau juga mengingatkan penternak untuk segera menghubungi Pejabat Perkhidmatan Veterinar yang terdekat sekiranya mendapati terdapat tanda-tanda jangkitan.
Tambahnya, penternak yang gagal melaporkan sebarang kes jangkitan penyakit ASF kepada pihak berwajib boleh didenda tidak melebihi RM500 dibawah Seksyen 32-(2) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.
“Manakala, penternak yang didapati membuang karkas babi melalui pelupusan haram ke kawasan perparitan, tadahan air atau jalan awam akan denda tidak melebihi RM1,500 dibawah Seksyen 12-(2) Peraturan Kawalan Penternakan Ternakan, 2003,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa bekalan daging babi yang terdapat di pasaran adalah selamat untuk dimakan.