KESEJAHTERAAN merupakan aspek amat penting dalam melahirkan masyarakat yang harmoni, keamanan yang berpanjangan dan berkekalan.
Untuk menuju ke arah tersebut, pembangunan masyarakat dalam segenap aspek termasuk kesihatan perlu diaplikasi dan diperkukuhkan.
Justeru, bagi memastikannya kekal terpelihara, setiap individu dituntut supaya sentiasa menjaga kesihatan dan nyawa lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19 belum diatasi sepenuhnya.
Realitinya, kesihatan berperanan sebagai nadi dalam kerangka untuk membangunkan sesebuah masyarakat yang maju, proaktif dan berinovatif.
Malah, kesihatan sangat penting dalam melahirkan sebuah komuniti yang sejahtera.
Sehubungan itu, hidup berdisiplin bukan sekadar dalam aspek penjagaan masa malah meliputi segenap perkara dalam kehidupan.
Disiplin juga dapat ditakrifkan sebagai satu latihan pemikiran dan kelakuan atau peraturan-peraturan yang ditetapkan bagi memupuk jati diri yang ampuh.
Menyedari bahawa penjagaan kesihatan diri sendiri, keluarga dan masyarakat adalah satu tanggungjawab yang besar, justeru kita hendaklah juga berusaha untuk meningkatkan disiplin diri dengan mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Dalam konteks yang berkaitan, menekankan disiplin diri sebagai panduan bagi menghadapi wabak penyakit merupakan sebahagian perisai penting untuk memastikannya tidak menular sehingga menjejaskan kehidupan orang lain.
Antaranya mengamalkan kebiasaan baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung peningkatan kes yang semakin membimbangkan.
Pematuhan garisan panduan (SOP) dan kebiasaan baharu termasuk memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal perlu terus ditekankan dalam usaha memulih semula kehidupan yang terjejas dalam tempoh itu.
Di sini, disiplin diri semua pihak sangat diperlukan sebagai komitmen demi wabak Covid-19 terus menular dalam komuniti.
Pelaksanaan proklamasi darurat sejak 11 Januari 2021, sebagai langkah membendung penularan wabak terbabit bagi memastikan tidak memudaratkan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara.
Malah, PKP di beberapa negeri termasuk Sarawak turut dikuatkuasakan dalam mengekang pandemik ini terus meningkat.
Sebagai rekod, negara pernah mencatatkan kadar kebolehjangkitan terendah 0.81 pada 3 Mac ketika PKP pertama tahun lalu.
Bagaimanapun perkembangan terkini Covid-19 yang semakin membimbangkan, memaksa Kerajaan Sarawak melaksanakan semula PKP di negeri ini, bermula Sabtu hingga 14 Jun.
Sarawak sudah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan garis panduan (SOP) yang diperketatkan sejak 12 Mei lalu.
Oleh itu, setiap individu masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk bersama berganding bahu membendung penularan jangkitan wabak berkenaan.
Malah, matlamat memutuskan rantaian penularan wabak hanya mampu dicapai sekiranya orang ramai terus memberikan kerjasama.
Tanggungjawab itu bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata sebaliknya, kepatuhan tinggi semua pihak juga memainkan peranan penting.
Sesungguhnya segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan ini tidak akan mencapai kejayaan tanpa komitmen dan kerjasama dalam mematuhi setiap garis panduan dan arahan pihak berkuasa.
Betapa pentingnya semua pihak meningkatkan tahap disiplin diri sendiri dan ahli keluarga dengan sentiasa mengamalkan kawalan kendiri, di samping peka dengan keadaan sekeliling lebih-lebih lagi ketika berada dalam komuniti.