Trending

Tingkatkan ekonomi penduduk kampung

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
Kelas Anyaman KRT Tellian Mukah jadi tumpuan

 MUKAH: Kampung Tellian Tengah mengorak langkah membantu menjana ekonomi penduduk dengan adanya kelas anyaman di bangunan lama Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tellian Tengah di sini.

Bangunan lama yang berhadapan Pusat Komersial (PK) Kampung Tellian itu kini menjadi tumpuan penduduk.

Kelas ini dibuka melalui inisiatif gabungan badan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon 1 dan 2 yang dipengerusi bersama-sama Dura Bata dan Mohamaa Aris Abdullah, di bawah seliaan Ketua Kampung (KK) Tellian Tengah/Seri Tellian, Boneventure Juana Lupieh.

Justeru, Mohamad Aris Abdullah berkata, KRT Kampung Seri Tellian (Tellian Tengah) menyediakan kelas dengan tujuan untuk mendedahkan pelbagai kegiatan kesenian.

“Melalui kelas ini kita mahu meningkatkan ekonomi penduduk setempat iaitu setelah mereka mempelajari membuat anyaman, mereka boleh membuka perniagaan sendiri dengan menjual hasil kraf,” katanya.

Mohamad Aris menambah, kelas anyaman diadakan setiap hujung minggu, bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.

“Sehingga kini, seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada penduduk Kampung Tellian Tengah dan Ulu yang giat menganyam pelbagai ayaman untuk peralatan dapur seperti tikar, bakul, paka dan babat.

“Mereka membuat anyaman mengikut kreativiti masing-masing dengan menggunakan tali plastik sambil dibimbing oleh tenaga pengajar,” ujarnya.

Dura Bata pula memberitahu, tenaga pengajar dan pembimbing kelas anyaman ialah Slaman Tuna dan Jhony Anthony Menduri.

“Orang awam yang berminat untuk belajar anyaman boleh datang ke kelas ini dengan percuma, namun peralatan disediakan sendiri oleh peserta,” katanya.

Beliau menambah, kelas atau bangunan yang menempatkan kelas anyaman itu bukan setakat menyediakan ruang untuk mengajar pelabagai anyaman, tetapi juga ruang untuk membuat pelbagai kuih-muih dan jahitan di bawah seliaan KRT Zon 1 dan Zon 2 Kampung Seri Tellian.

“Sekiranya ada bantuan dana disalurkan daripada pemimpin, kita mahu gunakannya untuk membeli bahan tambahan dan barangan keperluan untuk aktiviti yang diadakan di sini,” katanya.

Sementara itu, Adun Tellian Yussibnosh Balo melahirkan rasa bangga terhadap kelas anyaman yang ditubuhkan oleh KRT kampung berkenaan. “Saya berharap aktiviti tersebut diteruskan dan dipromosikan untuk mengkomersialkan hasil-hasil daripada para peserta,” katanya.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru