Tingkatkan integrasi golongan memerlukan

DALAT: Kompleks Kebajikan Daerah Dalat bakal dibuka menjelang April ini untuk kegunaan warga emas, kanak-kanak dan orang kelainan upaya (OKU) di bawah satu bumbung menerusi pelbagai agensi kerajaan yang terlibat. 

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, mengubah pemikiran masyarakat dalam membangunkan pusat yang dapat digunakan secara bersama itu sangat penting. 

“Melalui kompleks ini, kami mahu idea untuk mewujudkan interaksi antara satu sama lain sama ada kanak-kanak, warga emas, OKU dapat meningkatkan integrasi perhubungan mereka di bawah satu bumbung,” tegasnya. 

Beliau berkata demikian dalam lawatannya ke Kompleks Kebajikan Dalat di sini semalam. 

Katanya lagi, kompleks tersebut dapat bertindak sebagai tempat untuk mewujudkan nilai positif kepada kanak-kanak terhadap warga emas. 

Malah katanya, ia menjadi terapi dan kasih sayang kepada warga emas terhadap kanak-kanak dan memupuk perasaan empati serta keprihatinan dalam kalangan mereka apabila bersama-sama dengan OKU. 

“Kompleks tersebut akan menempatkan Pejabat Kebajikan, selain menjadi Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe), Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), taska, dan pusat untuk aktiviti kanak-kanak termasuk mewujudkan ruang untuk belia. 

“Projek bernilai RM12.5 juta ini juga dalam proses permohonan permit menduduki (OP). 

“Bangunan sudah siap sepenuhnya dan dilengkapi dengan kemudahan air dan elektrik,” katanya sambil menambah ruang hidroterapi iaitu kolam mini untuk dibina. 

Fatimah menjelaskan, beberapa ruang perlu diperhalusi dan setelah semuanya selesai, pihak JKM dan Sedidik akan membuka taska di tempat kerja di kompleks tersebut.

Suara Sarawak