ARTIKEL

Tingkatkan kesedaran pengesanan awal penyakit

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dengan kerjasama Borneo Medical Centre (BMC), Diabetes Malaysia dan Lions Club of Kuching North akan menganjurkan Program Saringan Kesihatan Percuma pada Ahad ini bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengesanan awal penyakit serta amalan gaya hidup sihat.

Program yang akan berlangsung di Foodcourt Basement, Song Kheng Hai dari jam 8 pagi hingga 11.30 pagi itu menawarkan pelbagai pemeriksaan kesihatan secara percuma, termasuk ujian paras glukosa darah, tekanan darah dan Indeks Jisim Badan (BMI), yang dikendalikan oleh petugas kesihatan.

MBKS dalam satu kenyataan hari ini berkata program itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan pihaknya bersama BMC dan rakan strategik dalam memperluaskan akses masyarakat kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan pencegahan.

Menurut kenyataan tersebut, pemeriksaan kesihatan secara berkala dan pengesanan awal penyakit merupakan langkah penting untuk meningkatkan kualiti hidup serta mengurangkan risiko penyakit kronik.

“Melalui kerjasama ini, MBKS dan rakan strategiknya membawa perkhidmatan kesihatan lebih dekat kepada komuniti, di samping menggalakkan lebih ramai penduduk mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Program itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat.

Sebagai insentif, setiap peserta yang mendaftar dan melengkapkan saringan kesihatan akan menerima sekampit beras putih seberat lima kilogram secara percuma, tertakluk kepada stok sedia ada berdasarkan konsep siapa cepat, dia dapat.

MBKS berharap orang ramai merebut peluang menyertai program itu sebagai usaha mengamalkan gaya hidup sihat, di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pencegahan dan pengesanan awal penyakit.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU