Tingkatkan kualiti lada

KUCHING: Pusat Pembangunan dan Pengembangan Industri Lada Negara (PILN) di Semenggoh akan memainkan peranan penting dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) lada di Sarawak.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, penyelidikan dan pembangunan akan membantu meningkatkan kualiti lada di Sarawak termasuk di seluruh Malaysia.

“Perkara ini penting kerana mana-mana industri tidak boleh bangkit melainkan mempunyai R&D yang baik. “Kami juga sedang bergerak di seluruh Malaysia dengan semua pembangunan dalam bentuk R&D,” katanya pada sidang media dalam lawatan ke tapak Projek PILN, di Semenggoh.

Tambahnya, anggaran kos untuk pembinaan PILN tersebut adalah lebih RM80 juta dengan melibatkan tiga fasa. “Kami kini berada pada fasa kedua iaitu pembinaan bangunan untuk R&D dengan nilai projek RM38 juta, ia disalurkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

“Kami telah berjaya menyiapkan 69 peratus daripada keseluruhan projek dan dijangka dapat disiapkan pada Julai 2021,” ujarnya. Sehubungan itu, beliau memaklumkan fasa pertama melibatkan kos RM1.8 juta manakala untuk fasa ketiga, kementeriannya akan memohon peruntukan sebanyak RM40 juta di bawah RMK-12.

“Projek ini juga sangat penting untuk pembangunan lada. Kami akan lebih maju ke hadapan, sekali gus menyemarakkan lagi lada yang menjadi mercu tanda negeri ini.

“Sebab itu kami sangat pentingkan projek ini. Disebabkan itu, bagi fasa ketiga kelak, kami memerlukan kos tersebut untuk membina blok pembangunan termasuk bilik kuliah,” jelasnya.

Beliau berharap pihak kontraktor dapat menyiapkan projek tersebut mengikut jadual yang telah dipersetujui.

Mohd Hadiruddin turut melawat tapak pembinaan untuk meninjau situasi sebenar perkembangan projek PILN tersebut. Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia Philip Gaweng turut serta dalam lawatan tersebut.

Suara Sarawak