Tingkatkan peluang pelajar

KOTA SAMARAHAN: Kolaborasi antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak dengan Stoma Sdn Bhd akan memberikan manfaat kepada golongan pelajar. Pengurus Besar Stoma Sdn Bhd Muhammad Firdaus Abdullah berkata, Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani semalam melibatkan dua aspek yang ingin diketengahkan.

“Pertama, ia menunjukkan sokongan yang kuat terhadap usaha UiTM dalam mengembangkan dan memperkukuhkan kemampuan kejuruteraan inovatif.

“Kedua, MoA ini juga akan memanfaatkan kemampuan kita untuk membuat dan mengembangkan penyelesaian kejuruteraan inovatif di Sarawak dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UiTM Sarawak dengan Stoma Sdn. Bhd di kampus UiTM Cawangan Samarahan pada Khamis.

Beliau berkata, kolaborasi ini juga akan membantu memupuk para pelajar khususnya golongan muda dalam mendedahkan kepada mereka tentang amalan baik.

“Selain itu, ia juga akan meningkatkan peluang kebolehpasaran para pelajar UiTM selepas menamatkan pengajian,” ujarnya. Menjelas lanjut tentang sistem Loji Rawatan Biologi (BTP) katanya, ia telah diperkenalkan oleh Stoma membolehkan air dirawat melalui tiga fasa iaitu primier (primary), sekunder (secondary) dan peringkat ketiga (tertiary).

“Bersama-sama dengan UiTM, kami akan melancarkan impian untuk mencapai perubahan dalam perkembangan teknologi di Malaysia. “Pada masa ini, kami dengan bangganya mengatakan bahawa kami telah berjaya dalam teknologi sungai dan ini telah menghasilkan perubahan jangkaan dalam kualiti air di Malaysia,” jelasnya.

Firdaus berkata, MoA tersebut adalah batu loncatan untuk mewujudkan masa hadapan yang lebih cerah antara UiTM dengan Stoma khususnya dalam pembangunan kejuruteraan inovatif di Sarawak dan Malaysia.

“Visi kami jelas dan kami percaya dengan keinginan untuk memperolehi pengetahuan teknologi untuk menyampaikan kepakaran dalam perniagaan.

“Masih banyak projek yang berpotensi pada masa hadapan seperti sistem elektrik yang dihasilkan sendiri dan untuk menghasilkan loji rawatan air minum untuk kawasan luar bandar di Sarawak.

“Ini juga seperti rawatan air terbuang, sistem pembetungan regenerasi dan sistem pembuangan air sisa kilang sawit yang dihasilkan daripada MoA ini,” tegasnya.