Tingkatkan pengeluaran makanan Sarawak

KAPIT: Sistem fertigasi pertanian pintar bakal diperkenalkan dan dipromosikan ke lebih banyak kawasan di Sarawak tahun depan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, menjadi harapan Kerajaan Sarawak agar lebih ramai pihak mengadaptasi sistem berkenaan sekali gus membantu untuk meningkatkan pengeluaran makanan negeri ini.

“Fertigasi adalah sistem yang bersih dan unik tanpa memerlukan banyak buruh atau tanah.

“Dilaksanakan dengan aplikasi IoT, terkenal dengan produktiviti yang unggul,” katanya ketika melancarkan Kapit AgroFest Kapit 2019 di sini, petang semalam.

Uggah menjelaskan, dana sejumlah RM2 juta diluluskan oleh Kerajaan Sarawak bagi melaksanakan sistem berkenaan di sini tidak lama lagi.

PESERTA… Uggah merakam gambar bersama-sama peserta AgroFest 2019 di Kapit, hari ini.

Oleh itu, Jawatankuasa Petugas Urda di bawah Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi dipertanggungjawab melaksanakan tugas berkenaan.

Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah itu yakin, ramai petani dan usahawan agro melaksanakan sistem berkenaan kerana ia boleh membantu mengeluarkan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan untuk kegunaan tempatan serta dijual.

Uggah turut mengumumkan geran bernilai RM2 juta membeli benih durian Musang King untuk diagihkan kepada para petani di bahagian tersebut.

Sejajar itu, pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan (CPPC) akan ditubuhkan di sini untuk membeli lebihan durian tempatan.

“Kita merancang untuk menjual 200 tan pas durian ke China tahun ini. Permintaan pasaran buah durian di negara tersebut sangat tinggi,” ujarnya.

Kementeriannya juga akan mengadakan Kursus Penyelenggaraan dan Pemulihan Durian di Kapit tahun depan agar para petani tahu bagaimana untuk menjaga pokok durian mereka.

“Apabila anda menjaga pokok durian dengan baik, anda pasti dapat menuai banyak buah dan ini telah terbukti,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Uggah berkata, tanah seluas 260,000 hektar di kawasan Kapit telah disukat di bawah Seksyen 6.

“Kita mahu mengenal pasti berapa luas kawasan yang boleh dibangunkan dari segi kesesuaian tanaman dan aktiviti ekonomi lain.

“Ada kalangan pemilik tanah mahu bangunkan tanah mereka sendiri, dalam hal ini kita mungkin boleh pertimbangkan usahasama di mana kita mempelawa agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan untuk turut serta dalam projek,” katanya.

Justeru, beliau melahirkan rasa kesal terhadap tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan mengambil tanah rakyat.

“Kerajaan Sarawak menyukat kira-kira 900,000 hektar tanah seluruh negeri setakat ini. Daripada jumlah tersebut, 800,000 hektar digazetkan sebagai tanah NCR.

“Jadi, bolehkan pihak-pihak yang sentiasa menuduh kerajaan dalam media sosial memberitahu kami berapa banyak hektar tanah diambil oleh kerajaan?,” soalnya.

Uggah menambah, Kerajaan Persekutuan turut menyokong survei Seksyen 6 yang dijalankan oleh Kerajaan Sarawak dan meluluskan peruntukan sejumlah RM10.9 juta untuk meneruskan kerja-kerja penyukatan tanah.

“Saya adalah pengerusi bersama Majlis Tindakan Negeri yang memantau pelaksanaan semua projek pembangunan persekutuan di Sarawak.

“Pengerusi bersama majlis ini, Menteri Kerja Raya Baru Bian juga bersetuju dengan survei Seksyen 6 yang dijalankan,” tegasnya lagi.

Terdahulu, Agrofest Kapit 2019 yang diadakan dari 27 September dan berakhir hari ini adalah penganjuran kali keempat tahun ini selepas Limbang, Miri dan Bintulu.

Suara Sarawak