Tingkatkan program bercorak muhibah

KUCHING: Program bercorak muhibah perlu dipertingkatkan untuk menerapkan Rukun Negara kepada para pelajar, kata Ahmad Faizal Osman.

Tokoh motivasi merangkap guru yang lebih dikenali sebagai Cikgu Emmet itu berkata, ia sama seperti satu program yang dinamakan sebagai program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (Rimup).

“Program Rimup begitu rancak dilaksanakan sekitar tahun 2017 dan 2018, untuk terus melaksanakan perkara tersebut ia perlu diberikan nilai tambah.

“Perkara tersebut penting kerana ia membantu untuk melaksanakan program sedemikian secara besar-besaran terutamanya di peringkat nasional,” katanya yang dihubungi Suara Sarawak, kelmarin.

Tambahnya, penerapan Rukun Negara memang sudah lama dilaksanakan dalam mata pelajaran Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik.

“Di sekolah juga kita membuka Kelab Rukun Negara dan ia merupakan salah satu peranan untuk menerapkan Rukun Negara kepada para pelajar. “Peranan menerapkan Rukun Negara juga, sudah lama dilaksanakan oleh sekolah termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” jelasnya.

Beliau menegaskan, pihak kerajaan tidak perlu memberi fokus untuk memasukkan semula Rukun Negara dan menjadikannya sebagai satu mata pelajaran sebaliknya perlu meningkatkan program bercorak muhibah.

“Bagaimanapun, ia boleh disisipkan di dalam sebahagian matapelajaran lain seperti Bahasa Melayu, Pendidikan Moral, Pendidikan Sivik, Sejarah dan lain-lain. “Ini kerana, ia membantu untuk meluaskan lagi penerapan Rukun Negara kepada para pelajar,” tegasnya.

Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, kementeriannya sedang berbincang dengan KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengenai cadangan memasukkan semula subjek Rukun Negara ke dalam silibus pendidikan Malaysia.

Pelaksanaan itu juga akan melibatkan pelajar di peringkat pendidikan awal kanak-kanak sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke universiti.

Suara Sarawak