
SARIKEI: Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Sri Huang Tiong Sii meluangkan masa menyantuni para peniaga pasar tamu Bintangor, di sini, hari ini.
Ketika lawatan tersebut, Ahli Parlimen Sarikei itu turut bertanya khabar di samping menyelami masalah yang dihadapi oleh peniaga di kawasan berkenaan.
Kewujudan pasar tamu Bintangor merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyediakan ruang niaga yang lebih selesa kepada pengunjung dan peniaga yang menjalankan perniagaan di tapak itu.
Ia merangkumi ruang niaga berkonsepkan pasar terbuka seperti zon basah, kering, tempat menjamu selera, pasar minggu dan lain-lain lagi. Antara produk yang boleh didapati di sini termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, makanan dan minuman serta hasil laut.
Sehubungan itu, Tiong Sii mahu pasar tamu itu dimanfaatkan sebaik-baiknya kerana mampu melonjakkan potensi kawasan tersebut sebagai pengeluar hasil pertanian dan perikanan.
“Ini merupakan lawatan pertama saya ke pasar ini selepas menang pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) lalu. Saya juga ingin berterima kasih atas sokongan padu masyarakat tempatan sehingga memberi peluang kepada saya untuk menjadi Ahli Parlimen Sarikei.
“Sokongan itu tidak akan dilupakan malah, saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk membantu peniaga kawasan ini,” jelasnya.
Hadir sama Pegawai Daerah Meradong Badjuri Bidin, Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) Wan Mohammad Wan Badhi dan Jurutera Awam MDMJ Robin Roy.