Tipu dalam talian masih ada!

Jimmy Panyau berkata, orang ramai khususnya di kawasan Mukah juga dinasihati jangan terlibat atau terpengaruh dengan aktiviti jenayah khasnya melibatkan kes penipuan dalam talian. 

“Difahamkan masih ramai yang ditipu dengan scammer ini, khasnya berkaitan pembelian barang dalam talian sehingga menyebabkan kerugian hingga ribuan ringgit. 

“Malah yang terlibat ialah orang awam dan penjawat awam yang tertipu dengan scammer ini,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada perhimpunan sempena Sambutan Hari Polis ke-214 Daerah Mukah di sini. 

Justeru Jimmy meminta orang ramai agar tidak terpengaruh dengan penipuan melalui panggilan telefon yang mendakwa sebagai anggota polis, pegawai kastam, pihak mahkamah dan pegawai kerajaan atau sebagainya. 

“Semua mereka ini penipu dan jika ada yang menerima panggilan seperti ini, segera datang ke balai polis untuk membuat laporan supaya siasatan lanjut boleh dijalankan,” tegasnya lagi. 

Meskipun demikian katanya, sehingga kini kes jenayah di kawasan Mukah dalam keadaan terkawal. 

“Saya ingin menzahirkan penghargaan terima kasih kepada penduduk Mukah yang memberi kerjasama yang terbaik dan erat kepada kita. 

“Bersempena sambutan Hari Polis ini, saya juga mengingatkan warga polis supaya bertugas dengan jujur dan ikhlas dalam situasi Covid-19 yang mencabar ini,” tambahnya. 

Dalam majlis itu, Jimmy turut menyemat pangkat kepada lima anggota yang dinaikkan pangkat daripada koperal kepada sarjan.

Suara Sarawak