Tiru bola sepak Kuching

PENASIHAT skuad Pantai Damai FC Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi memuji Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA) atas kejayaan menganjurkan Liga Kuching Lea Sports Centre (LSC) 2019.

Beliau berkata, ia merupakan fenomena baharu bagi arena bola sepak di Sarawak dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain berbakat.

Sehubungan itu menurutnya, pasukan yang pernah bertarung dalam liga tempatan sebelum ini perlu menyokong usaha KDFA.

“Kita menyeru pasukan yang pernah bertarung dalam liga tempatan untuk kembali memeriahkan kejohanan seperti ini,” kata bekas Presiden FAS itu.

Malah katanya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kini turut memberi perhatian kepada sukan bola sepak di Sarawak.

Beliau turut berharap badan induk bola sepak di Sarawak dapat mencontohi usaha KDFA dalam mencungkil bakat-bakat baharu menerusi penganjuran Liga Kuching.

“Kalau badan induk di Bahagian lain dapat memainkan peranan sama, kita yakin Sarawak mampu menjadi pasukan digeruni pada masa akan datang,” ujarnya.

Mengulas mengenai penyertaan Pantai Damai FC dalam saingan K-League LSC musim 2019, Dr Abdul Rahman menjelaskan, pencapaian yang dilakar pasukan bimbingan Samsul Napiah membuktikan pendatang baharu itu bukan sahaja untuk melengkapkan kuota pasukan dalam saingan.

“Kita akan menyediakan pasukan yang mantap untuk saingan Piala Abang Johari,” jelasnya.