MENUNGGU pengumuman keputusan peperiksaan awam yang diduduki adalah satu kenangan menarik.
Macam-macam ragam calon peperiksaan dapat dilihat.
Ada yang gentar, dan tidak kurang juga ada yang kekal tenang kerana yakin keputusan akan memihak kepadanya.
Mendapat banyak A. Ada yang tidak dapat tidur malam, kerana bimbang.
Keputusan yang akan diumumkan keesokan hari akan menentukan ke mana tuju mereka selepas ini.
Sama ada akan dapat meneruskan pengajian, ataupun mencari kerja.
“Awal tidur malam tok.
Esok maok awal turun ke sekolah.
Mun lambat, habis A diambil orang lain.
Mun lambat, hanya tinggal E…”
Ini sekadar gurauan dalam Facebook mungkin untuk menenangkan diri calon.
Pengalaman membuat liputan pengumuman keputusan SPM juga menarik.
Wartawan akan mencari dahulu sekolah yang diyakini cemerlang — ramai pelajar yang mendapat A dalam semua mata pelajaran.
Malah, ada ketikanya guru besar, pengetua ataupun guru sekolah berkenaan yang menghubungi wartawan.
Dia memaklumkan keputusan sudah diperoleh dan sekolah mereka antara yang terbaik.
Malah, ada yang terbaik di Sarawak.
Ketika di sekolah, wartawan akan mendapatkan keputusan terlebih dahulu.
Biasanya akan menemu bual pelajar cemerlang serta ibu bapa.
Kemudian mencari sesuatu yang istimewa untuk dijadikan berita.
Antara yang pernah disiarkan di media ialah kisah kegigihan si bapa bekerja untuk memastikan anak mereka cemerlang.
Kisah ini melibatkan petani, pemandu bas, lori, teksi dan apa-apa sahaja yang memaparkan pengorbanan sebelum berjaya.
Turut menjadi perhatian, kisah pelajar yang mungkin mengalami masalah kesihatan tetapi mampu cemerlang.
Macam-macam akan ditanya tentang kepayahan hidup, bagaimana belajar serta kaedah pembelajaran.
Macam-macam tip diberikan untuk dikongsikan dengan bakal calon peperiksaan yang sama tahun akan datang.
Selain itu, agak pelik ada juga yang meluahkan kecewa walaupun berjaya memperoleh 7A.
Seorang pelajar ketika ditemu bual memaklumkan,
“Sejujurnya saya sangat kecewa sebab tidak mencapai sasaran.
Walaupun bagi orang lain keputusan ini membanggakan, tetapi tidak bagi saya kerana semua gred saya peroleh, alang-alang ingin mendapat 7A.”
Keputusan SPM 2022
Seramai 10,109 calon SPM 2022 memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, seramai 342,742 atau 91.6 peratus calon SPM 2022 layak menerima sijil berbanding 88.1 peratus atau 336,630 calon pada tahun lepas.
Ditanya faktor peningkatan dalam SPM 2022, Pkharuddin berkata, pelajar SPM 2022 lebih bersedia dengan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Ini adalah tahun kedua format baharu KSSM, jadi mungkin guru dan pelajar sudah ada rujukan tahun sebelumnya dan mereka lebih bersedia.
“Peningkatan prestasi SPM 2022 juga boleh dikaitkan dengan prestasi mata pelajarah sejarah yang mencatatkan prestasi tinggi dalam mata pelajaran teras,” katanya.
Sementara untuk Sarawak, seramai 684 calon di negeri ini memperoleh keputusan cemerlang dengan gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, jumlah tersebut merupakan 2.08 peratus daripada keseluruhan 32,810 calon.
Jangan mengalah
Apa-apa pun keputusan yang telah diperoleh, sama ada lulus atau tidak, jangan terus mengalah.
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan pengakhiran kehidupan.
Masih ada masa untuk mengubah diri menjadi insan yang lebih baik lagi.
Ini antara nasihat dan kata-kata semangat kepada mereka yang pernah memperoleh keputusan kurang membanggakan dalam peperiksaan SPM.
SPM ialah titik permulaan, bukan titik pengakhiran.
SPM juga bukan noktah segala-galanya.
SPM ialah titik mula untuk menjadi dewasa.
Dunia tidak akan hancur hanya kerana anda gagal dalam peperiksaan ini. Kata-kata ini biasa ditujukan kepada mereka yang “frust menonggeng”.
Sedaya upaya ibu bapa memujuk si anak tadi agar meneruskan usaha, walaupun pada hakikatnya, hati ibu dan bapa tetap kecewa dengan keputusan gagal atau cukup-cukup makan yang dicatat oleh anaknya.
Tetapi, ibu dan bapa akan lebih kecewa apabila melihat anak mereka tidak lagi mahu berusaha.
Rasa sedih disembunyikan dengan baik jauh-jauh ke dalam hati.
Ini untuk memastikan si anak tadi tidak dapat melihat kesedihan dan kekecewaan itu.
Di bibir mereka tetap terukir senyuman indah khusus untuk anaknya.
Permulaan jadi dewasa Inilah permulaan untuk menjadi dewasa.
Selepas ini, akan ada yang merancang melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi di dalam atau luar negara.
Bidang yang dipilih pastinya bidang yang akan menjanjikan kerja setelah tamat pengajian.
Lebih penting gajinya lumayan.
Tidak kurang juga yang akan mencari pekerjaan.
Bukan setakat mereka yang mendapat keputusan cukup-cukup makan dalam SPM, malah ada pelajar yang cemerlang turut mengetepikan belajar untuk mencari kerja semata-mata bagi membantu keluarga.
“Sik hal, kerja jak dolok… kelak dalam kerja boleh mohon belajar jarak jauh.”
Antara yang selalu dijawab apabila ditanya kenapa memilih bekerja berbanding menyambung belajar.
Alasan yang memang kuat ialah membantu bapa selain ada adikadik yang masih bersekolah.
Si abang atau kakak perlu berkorban.
Namun langkah bijak ialah melanjutkan pengajian.
Kemudian dapatkan pekerjaan yang baik. Kini kos belajar boleh dibayar dahulu oleh PTPTN, malah kalau rajin mohon biasiswa pengajian.
Hari ini banyak institusi menawarkan biasiswa.
Peluang ini perlu direbut walaupun habis pengajian perlu bekerja dengan institusi itu setelah tamat pengajian.
Selepas SPM ialah titik mula menjadi dewasa.
Keputusan banyak pada diri.
Orang lain terutama keluarga hanya akan memberikan sokongan.
Buat pilihan yang tepat demi kebaikan diri.
Jika pilihan itu baik untuk diri sendiri, automatik ia akan memberikan kepada orang lain, terutama keluarga.