Titik noktah kemelut politik

DALAM suasana dingin hangat senario politik negara hari ini, rakyat mengharapkan titik noktah yang terbaik. Namun, cukuplah kenangan bersama Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh kurang dua tahun menjadi pengajaran yang tidak akan berulang.

Bukan hendak menidakkan kemampuan mereka tetapi rakyat mahukan pihak yang lebih bertanggungjawab terhadap janji.

Apabila berjanji biar dikota, bukannya semudah itu untuk dimungkiri. Ramai pihak mengatakan sepanjang pentadbiran PH, tidak ubah seperti indah khabar dari rupa. Kerana, apabila berkuasa mereka tidak seperti yang dijangkakan oleh pengundi.

Menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menurunkan harga minyak sehingga RM1.50 seliter, tiada kenaikan harga barang serta banyak lagi janji. Sarawak juga pernah dijanjikan oleh salah seorang pemimpin pakatan itu dahulu.

Katanya, kalau mereka menang di Putrajaya, 20 peratus royalti minyak akan diberikan kepada Sarawak. Namun, sehingga PH tumbang beberapa hari lalu, ia hanya cakap kosong pemimpin yang tidak bertanggungjawab. Lebih teruk, setelah menang mereka memberi bermacam alasan.

Sebab itu rakyat Sarawak mengharap PH tidak diberikan kuasa menjadi Kerajaan Persekutuan buat kali kedua. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali. Justeru dalam senario politik hari ini, kepimpinan Sarawak yang diketuai Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebagai Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) diharap mampu melakukan yang terbaik demi tanah bertuah ini.

Demi rakyat yang sudah setia bersama GPS. Tapi bagaimana kiranya GPS bergabung dengan parti-parti lain untuk membentuk pakatan baharu? Khabar angin bertiup kencang menyatakan Kerajaan Persekutuan mungkin dibentuk oleh Pakatan Nasional (PN)? Dan seperti yang tular, GPS tersenarai di dalamnya.

Malah Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka mengemudi PN? Dikuatkan lagi dengan satu kenyataan Setiausaha Agung GPS Datuk Alexander Nanta Linggi pada 25 Februari mengatakan pendirian GPS menyokong sepenuhnya Tun Mahathir untuk terus menerajui kepimpinan negara.

Katanya, sokongan itu telah disampaikan secara rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong dan Tun Mahathir pada Ahad lalu oleh Abang Johari. Satu persatu persoalan timbul. Tidak takutkah GPS sekiranya keadaan serupa seperti diperintah oleh Barisan Nasional (BN) dahulu yang mengutamakan konsep konsensus? Sehingga, suara kita amat terhad ekoran ‘bos besar’ berada di sana.

Bagaimana pula dengan tuntutan hak dan kepentingan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)? Adakah dengan penyertaan GPS bersama PN itu nanti urusan penurunan kuasa akan lebih mudah? Melalui cakap-cakap di kedai kopi, pelbagai spekulasi timbul. Itu belum lagi berbicara soal pengkhianatan yang didakwa sesetengah pihak.

Namun penulis yakin, kepimpinan Kerajaan GPS bukan bertindak semberono. GPS seperti diketahui amat mengutamakan rakyat dan Sarawak. Maka, apa-apa jua keputusan selepas ini, itu mungkin dirasakan yang terbaik untuk semua. Sama ada GPS akan bersama blok Kerajaan Persekutuan baharu kelak atau kekal sebagai kem bebas, kita cuma mengharapkan Kerajaan Persekutuan baharu untuk lebih bertanggungjawab terhadap Sarawak.

Kalau pada zaman PH, Sarawak dianaktirikan… janganlah Kerajaan Persekutuan baharu bertindak sedemikian kelak. Sarawak merupakan satu wilayah yang membentuk Malaysia bersama-sama Sabah, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura.

Ini bermaksud, status Sarawak tidak sama seperti negeri-negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu, sebaliknya sebagai satu wilayah seperti Sabah. Kita bukan gila kuasa tetapi ia berhubung kait dengan hak.

Justeru, Perdana Menteri kelapan kelak harus memandang serius perkara ini. Sesungguhnya rakyat amat menyokong sesuatu yang dirasakan terbaik untuk Bumi Kenyalang seperti motto Utamakan Sarawak!

Suara Sarawak