KUCHING: Masyarakat Sarawak perlu mengambil semangat sambutan kemerdekaan 60 tahun Sarawak dalam menyokong persediaan Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di sini menjelang tahun 2024.
Timbalan Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, sokongan padu masyarakat tempatan selaku tuan rumah acara berprestij kebangsaan perlu demi memastikan misi merangkul gelaran juara SUKMA secara keseluruhan kali ini dapat tercapai.
“Bawa semangat kemerdekaan ini demi menyokong pasukan kita selaku tuan rumah SUKMA pada tahun hadapan.
“Misi (juara) adalah selaras dengan hasrat Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memandangkan Sarawak telah terpilih menjadi tuan rumah acara tersebut,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Sarawak X-tive Bahagian Kuching di Dewan Suarah Kuching, pada Jumaat.
Katanya, masyarakat tidak akan ketinggalan untuk terlibat secara langsung dalam acara berprestij itu memandangkan lapan bahagian di Sarawak telah ditetapkan sepanjang penganjuran.
“SUKMA tahun 2024 telah menetapkan sebanyak 37 acara dipertandingkan, sekali gus menjadi acara penganjuran SUKMA terbesar pernah diadakan.
“Hal ini memberi kita tanggungjawab serta cabaran terhadap lapan bahagian di Sarawak secara keseluruhan yang akan terlibat,” tambahnya.
Hadir sama atlet muda Muhammad Johan Ghazali Zulfika atau dikenali sebagai Jojo serta barisan jurulatih.