Tok Nan kekal dalam ingatan

KUCHING: Beberapa ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (Supp) yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Sim Kui Hian semalam menziarahi kubur Allahyarham Tan Sri Adenan Satem di Tanah Perkuburan Islam Samariang di sini.

Menerusi catatan dalam laman media sosial Facebook, Kui Hian memberitahu Ketua Menteri Sarawak kelima itu adalah rakan sekerja mendiang bapanya, Tan Sri Sim Kheng Hong yang merupakan Timbalan Ketua Menteri dari tahun 1974 hingga 1991.

Malah, beliau melahirkan rasa bangga kerana menjadi sebahagian daripada barisan kabinet Allahyarham Adenan yang lebih dikenali sebagai Tok Nan dalam kalangan rakyat Sarawak.

“Mentor saya, rakan saya, pesakit saya, seorang anak Sarawak yang hebat dengan Sarawak sentiasa di hatinya.

“Tiada yang boleh menghentikan misi dan impian Sarawak. Terima kasih banyak kerana membawa kita melangkah dan bergerak, kita harus terus bergerak ke hadapan”.

Demikian catatan Kui Hian menggambarkan siapa Allahyarham Tok Nan untuk dirinya.

Allahyarham Tok Nan lahir pada 27 Januari 1944 dan menghembus nafas terakhir pada 11 Januari 2017 akibat komplikasi jantung di Hospital Jantung Kota Samarahan.

Tok Nan dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 1 Mac 2014 menggantikan penyandang terdahulu yang kini merupakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.

Semalam genap tiga tahun Allahyarham meninggalkan penduduk Sarawak selama-lamanya namun nama, aura dan coletehnya masih segar di dalam ingatan rakyat Sarawak.

Pemergiannya ditangisi sekitar 2.6 juta rakyat Sarawak ketika itu.