Tokan dadah dicekup

BAU: Seorang tokan dadah di sini dicekup kerana memiliki 1.28 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM200.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata lelaki itu ditangkap dalam serbuan yang dijalankan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Nakotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau di sebuah rumah di Kampung Grogo, di sini lebih kurang jam 9.15 pagi tadi.

“Suspek juga didapati positif dadah jenis syabu dan Amphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah suspek berusia 33 tahun dari Kampung Sibuloh itu yang turut mempunyai rekod jenayah lampau akan dipohon reman esok.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi Rm100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu adalah di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5000 atau penjara tidak melebihi dua tahun serta Perintah Pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952