Toleransi serlah keunikan Sarawak

SARIKEI: Konsep toleransi dan semangat perpaduan yang terjalin erat dalam kalangan masyarakat menyerlahkan keunikan Sarawak. Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, keunikan itu terserlah ketika penganjuran aktiviti yang disertai komuniti setempat meskipun berbeza kaum dan budaya.

Menurutnya, perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk menjadi faktor kekuatan kepada kestabilan politik dan pembangunan Sarawak.

“Ini sudah menjadi kebiasaan tetapi bagi sesetengah pengunjung luar yang pertama kali datang ke sini, suasana itu mungkin sesuatu yang unik,” katanya pada program gotong-royong sempena Kembara Prihatin Negara (KPN), di Taman Susur Jambu, pada Ahad.

Program dianjurkan PBB Ranting Susur Jambu dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau menggesa semua lapisan masyarakat menggunakan program seumpama itu untuk merapatkan lagi hubungan sedia ada.

“Rakyat dapat hidup harmoni di bawah satu bumbung. Hubungan kerjasama dalam kalangan masyarakat juga masih kekal utuh. Inilah sebabnya penting untuk kita mengekalkan perpaduan.

“Justeru program seperti ini memberi peluang kepada kita untuk lebih memahami adat resam dan saling hormatmenghormati antara satu sama lain,” katanya.

KPN merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menyedari keperluan untuk menyantuni rakyat yang terkesan susulan Pandemik Covid-19.

Pelaksanaan KPN adalah untuk mengoptimumkan sumber sedia ada secara bersama antara agensi kerajaan dan komuniti selaras dengan konsep ‘Kebajikan Tanggungjawab Bersama.’ KPN juga merupakan program pendamping sosial secara langsung melalui pendekatan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Antara aktiviti pengisian ialah kaunter perkhidmatan semua agensi, aduan pelanggan, agihan bakul makanan serta menyantuni kes-kes kebajikan dengan kerjasama sektor korporat, agensi kerajaan, NGO dan komuniti.

Suara Sarawak