Tolong bawa pulang kami

KUCHING: “Saya berasa sedih sebab semua usaha membawa kami pulang sebelum ini tidak membawa hasil.

“Sudah empat bulan saya dan kawan-kawan terkandas, malah ada rakan terkandas di Lagos, Nigeria sejak Disember tahun lalu,” itu luahan warga Sarawak,

Malcolm Goh menerusi paparan video yang dikongsi melalui Facebook pada Rabu lalu.

Malcom bersama-sama 12 rakyat negeri ini antara 30 warga Malaysia yang terkandas di negara itu sejak dua bulan yang lalu.

Malcolm yang bekerja sebagai jurutera dasar laut memaklumkan dia terkandas di Lagos sejak ketibaannya di negara tersebut pada 7 Februari lalu.

Malcolm menjelaskan, dia dan rakan-rakannya yang lain terkandas akibat penutupan semua operasi penting oleh Kerajaan Nigeria ekoran berlaku peningkatan wabak Covid19.

“Disebabkan perintah berkurung Kerajaan Nigeria menutup lapangan terbang dan semua penerbangan.

“Saya juga sudah berhubung dengan kedutaan di Malaysia di Nigeria untuk meminta bantuan.

“Sepatutnya kapal terbang untuk kami pulang ke Malaysia adalah pada 5 April namun sehingga semalam sudah dua bulan kami menunggu untuk mendapatkan penerbangan untuk namun tidak yang berhasil,” jelasnya.

Kongsi Malcom, pihak kedutaan juga berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan penerbangan pulang tetapi tidak berjaya.

Malah sepanjang dua bulan menanti katanya, dia sedih apabila melihat ada rakyat China, India, Brazil dan United Kingdom berjaya pulang ke negara asal masing-masing.

Malcolm menaruh harapan tinggi jika ada mana-mana pihak membantu mereka untuk mempercepatkan proses untuk pulang ke Malaysia.

Sehingga berita ini ditulis, Suara Sarawak cuma mendapat sedikit informasi – antara yang terkandas merupakan pekerja yang berasal dari Sibu, Kapit dan Julau.

Lagos dihuni oleh 11,229,944 jiwa itu pernah menjadi ibu kota Nigeria sehingga 1991 dan merupakan pengeksport minyak kelapa sawit dan kacang tanah terbesar.

Lagos antara kota yang mempunyai tahap kebolehhidupan yang paling rendah di dunia.