Tolong buat saringan, jika anda terdedah – Kesihatan Sibu

SIBU: Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu berharap lebih ramai penduduk di sini yang terdedah dengan Covid-19 tampil menjalani ujian saringan.
Ia susulan kemunculan Kluster Pasai Siong yang telah menjangkiti 43 orang setakat ini dan terbaharu sebanyak 25 kes dicatatkan oleh Sibu pada hari ini.
Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun berkata, mereka juga akan membuka Stadium Tertutup Sibu sebagai pusat saringan Covid-19 mulai esok, iaitu dari jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.
“Dianggarkan 500 orang telah melakukan ujian Covid-19 di dua klinik kesihatan iaitu di Sibu Jaya dan Lanang pada Ahad.
“Saya bagaimanapun tidak dapat memberikan bilangan angka sebenar sehingga ia diumumkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBN),” katanya ketika dihubungi, hari ini (Isnin).
 
Ditanya mengenai perkembangan ujian saringan Covid-19 di dua lokasi hari ini iaitu di Klinik Kesihatan Lanang dan Klinik Kesihatan Sibu Jaya, Dr Teh memberitahu keadaannya terkawal berbanding semalam (Ahad).
“Bilangan mereka yang melakukan ujian Covid-19 hari ini kurang sedikit berbanding pada Ahad.
“Keadaan di klinik kesihatan itu juga juga kurang sesak dan orang ramai mematuhi peraturan penjarakan fizikal dan prosedur operasi standard (SOP),” tambah beliau lagi.

TERATUR…Keadaan orang ramai mendapatkan khidmat saringan COVID-19, hari ini.

Suara Sarawak