Tommy Mawat intai lima teratas Liga Premier

BEKAS pemain skuad Harimau Muda, Tommy Mawat Bada, 24, bersiap sedia untuk membantu Kuching FA kekal dalam saingan Liga Premier 2021.

Bekas pemain PKNS itu, mahu memastikan Kuching FA tampil sebagai antara pesaing hebat dalam Liga Premier 2020.

“Saya akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan Kuching FA berada dalam kelompok lima teratas,” kata Tommy yang berasal dari Bintulu.

“Namun sekarang ini saya perlu bekerja keras untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama,” ujar bekas anak didik Datuk Ong Kim Swee itu.

Tommy yang pernah menyertai pasukan Sarawak sebelum berhijrah ke Semenanjung Malaysia tidak mempunyai masalah untuk membentuk keserasian dengan pemain Kuching FA.

“Saya menerima lamaran Kuching FA kerana pengurusan yang bagus serta semangat juang para pemain. Malah kebanyakan pemain juga pernah beraksi dengan saya ketika bersama-sama pasukan Sarawak,” katanya.

Tommy merupakan pemain yang beraksi di posisi sayap kiri dan kanan. Di samping mempunyai larian pantas, beliau juga memiliki sentuhan jaringan.

Ketua jurulatih Kuching FA, Ideris Untong mengakui kehadiran Tommy memberikan ‘kuasa tambahan’ terhadap kekuatan sedia ada Kuching FA.

“Pengalaman yang ada pada Tommy pasti akan membantu kami… lebih-lebih lagi di bahagian atas,” ujar Ideris.

Tommy akan menambah kekuatan serangan mereka yang sebelum ini terlalu bergantung kepada Joseph Kallang Tie dan Sufizal Ismail.

Selain Tommy, dua import asing baharu yang diambil ialah Leo Alves (penyerang) dari Brazil dan pemain tengah dari Jepun, Akira Higashiyama.

Manakala tiga muka baharu tempatan yang turut disenaraikan ialah Paul Sambang, Affry Shahrul Afendy dan bekas penjaga gol Sarawak, Andy Nicolas Nipen. Sebahagian besar pemain musim lalu dikekalkan.

Sementara itu, Kuching FA akan mengadakan tiga perlawanan persahabatan pramusim di Semenanjung pada pertengahan Februari ini. Mereka akan menentang Selangor 2 FC, Kuala Lumpur dan UiTM FC.

Ia merupakan persiapan terakhir sebelum membuka tirai saingan Liga Premier 2020, menentang UKM FC di Stadium Negeri pada 29 Februari.

PROFIL TOMMY

NAMA PENUH: Tommy Mawat Bada

ASAL: Bintulu

TARIKH LAHIR: 26 Jun 1995

USIA: 24 tahun

POSISI: Sayap kiri/kanan

KETINGGIAN: 5 kaki 8 inci

BERAT BADAN: 62 kg

PENGALAMAN: Menyertai Sarawak pada 2015-2017, menyertai PJ Rangers pada 2018 dan PKNS pada 2019. Pernah menyertai skuad Bawah 23 Tahun Malaysia Piala AFC.

Suara Sarawak