Tongkang bawa batu kerikil dirampas

TANJUNG MANIS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot tunda berserta tongkang di kedudukan lebih kurang 1.3 Batu Nautika Barat Daya Tanjung Jerijeh pada petang Selasa. Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mohd Ariz Md Kassim berkata, bot yang sedang menarik tongkang sarat dengan muatan batu kerikil ditahan sekitar jam 2.20 petang setelah dikesan berada dalam keadaan mencurigakan.

Ariz berkata, bot tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 iaitu gagal mengemukakan Pas Pelepasan Pelabuhan atau “Port Clearance” semasa pelayaran.

“Seramai sembilan kru bot berkenaan yang terdiri daripada lima warga tempatan dan empat warganegara India yang memiliki pasport serta dokumen pengenalan diri yang sah turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Ariz berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan pemantauan serta rondaan bagi memastikan sebarang aktiviti yang melanggar atau menyalahi undang-undang di laut dapat dibendung serta dibanteras dengan sewajarnya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung salah laku serta kesalahan jenayah ataupun pencerobohan zon menangkap ikan di laut, boleh membuat aduan dengan menghubungi terus Bilik Operasi, Zon Maritim Tanjung Manis di talian 084- 613292/084-613293 atau MERS 999 (24 jam).