
SIBU: Tarikh 22 Julai amat bermakna buat semua rakyat Sarawak kerana ia merupakan tarikh Sarawak secara rasmi mula ditadbir oleh anak watan sendiri.
Demikian kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah ketika ditemui pemberita sebelum pelepasan peserta Program Kayuhan Sarawak Day Fun Ride di sini, hari ini.
Menurut Fatimah, pada 22 Julai 1963, Gabenor Sir Alexander Waddell telah menyerahkan pentadbiran Sarawak kepada pemimpin Sarawak.
“Walaupun tempoh pemerintahan sendiri hanya selama dua bulan, ia membawa perubahan ketara kerana kita berada di bawah pentadbiran pemimpin Sarawak sendiri,” katanya.
Fatimah menambah, pemilihan Sibu sebagai lokasi Sambutan Hari Sarawak tahun ini sangat bertepatan disebabkan di sini terdapat pejuang kemerdekaan seperti Rosli Dohby.
Beliau berkata, ini kali pertama sambutan Hari Sarawak diadakan secara fizikal selepas dua tahun sambutan hibrid dilaksanakan berikutan penularan wabak Covid-19.
“Sambutan ini akan menjadi sangat istimewa dengan pelbagai lagu dan persembahan tarian disajikan kepada penonton.
“Terdapat juga teater muzikal Rosli Dhoby dan video khas yang memaparkan Lost Kingdom serta aspirasi rakyat Sarawak untuk Sarawak.
“Penting bagi generasi muda untuk mengetahui dan menyedari perjuangan serta cabaran yang dihadapi oleh pejuang terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan Sarawak dan melihat negeri ini ditadbir oleh rakyatnya sendiri,” katanya.
