ARTIKEL

TRADISI Aidilfitri antara yang semakin sirna dalam hidup kita. Sambutan tidak lagi sama meriahnya untuk tempoh 20 tahun yang lalu. Malah jauh hilang kemeriahannya. Foto HIASAN

Tradisi Aidilfitri yang hilang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TIDAK dapat dinafikan semakin moden dan membangun sesebuah negara, maka semakin terkorban tradisinya.

Malah semakin berkembang teknologi, maka semakin tersisih budaya yang pernah menjadi pegangan kita suatu ketika dahulu.

Tradisi Aidilfitri antara yang semakin sirna dalam hidup kita. Sambutan ini tidak lagi sama meriahnya untuk tempoh 20 tahun yang lalu.

Malah jauh hilang kemeriahannya berbanding sambutan sekitar 50 ke 60 tahun lampau.

Di Kuching misalnya, tidak banyak lagi rumah yang mengamalkan amalan bertuntung pelita minyak tanah, atau memeriahkan rumah dengan cahaya neon — seperti mereka yang kini berusia 40 ke 50 tahun pernah lalui.

Tidak banyak kampung dan perumahan yang dapat “bersatu hati” menyalakan lampu pelita di sepanjang jalan — satu pemandangan yang sebenarnya amat dirindui kebanyakan orang.

Begitu juga dengan pemasangan pintu gerbang yang membezakan, antara satu kampung dengan kampung yang lain.

Selain itu, tradisi menghidang puluhan kuih tradisi didahului dengan kuih palak meja atau kepala meja juga semakin dilupakan.

Kuih palak meja merujuk kepada sejenis kuih yang tahan lama, yang lazimnya dipotong pada hari terakhir sambutan rumah terbuka, ataupun hanya ketika rumah dihadiri oleh individu berpengaruh.

Tokoh penting ini akan diberi penghormatan untuk melakukan urusan memotong dan memakan kek istimewa tersebut.

Baca lain  Jom melancong bersama keluarga

Pada zaman dahulu, sebelum wujud “kek tunjuk jari” atau kek yang dibeli, kebanyakan penghuni rumah di Kuching akan membuat sendiri kek-kek raya.

Dan ada antaranya, termasuk kek lapis boleh bertahan berbulanbulan.

Tidak ketinggalan biskut, kacang dan gula-gula, yang turut dihidangkan bersama.

Sekitar tahun 1990-an, sotong merah menjadi pilihan berserta dengan keropok udang serta hidangan acar, selain kuih tradisi lain.

Namun yang paling terasa sebenarnya, adalah ketiadaan lagi “rumah terbuka” yang membenarkan kita mengunjungi semua rumah tanpa peduli siapa pemiliknya.

Suatu ketika dahulu, ketika kebanyakan rumah di Kuching masih lagi menggunakan jambatan kayu, amat sukar seseorang itu untuk berziarah raya hanya untuk sejam.

Lazimnya, selepas turun dari sebuah rumah, mereka perlu naik ke rumah jiran — sehingga menjadikan kunjungan ke sesuatu kawasan tersebut membabitkan sekitar 30 ke 40 rumah sehari. 

Usah dicakap penat serta kekenyangan.

Namun itulah nikmat Aidilfitri yang dikaitkan dengan pengukuhan ukhuwah dan kekeluargaan.

Namun sejak penghujung 1990-an segala-galanya perlahan-lahan lenyap ditelan zaman.

Dan apabila muncul era Internet serta telefon bimbit, tradisi ini menjadi semakin terhakis teruk.

Ia menyebabkan ramai dalam kalangan kita tidak mengenali keluarga dan kaum kerabat sendiri, kerana tidak lagi wujudnya amalan ziarahmenziarahi.

Generasi kini sebaliknya lebih bersahabat secara dalam talian dan melupakan tradisi yang pernah subur dan kaya nikmat.

Baca lain  Ronda kampung lawan tidur lena

Terima kasih sebenarnya kepada kebanyakan perkampungan Melayu di luar bandar, yang sekurangkurangnya masih berusaha untuk mengekalkan tradisi ini.

Masih ada kampung yang mewujudkan pintu gerbang bercahaya, selain mengadakan aktiviti bertuntung dan menceria kediaman serta perkampungan pada waktu Aidilfitri ini.

Malah mereka juga masih tebal dengan semangat kunjung-mengunjung dan ziarah-menziarahi walaupun berlaku sedikit penyesuaian dari aspek tradisi. 

Amalan ziarah sekampung kini diganti dengan rumah terbuka pada hari tertentu sahaja.

Ini antara evolusi yang terpaksa kita terima, berlaku dalam masyarakat kita.

Jika dahulu ada aktiviti masak lemang bersama antara yang dinantikan, ia mungkin diganti dengan pembelian lemang; manakala aktiviti “potluck “ dianjurkan untuk menggantikan ziarah turun tangga naik tangga. 

Untuk duit raya, mungkin ada yang hanya melihat sampul duit raya, kerana generasi hari ini menuntut agar diisi secara qr code ke dalam e-wallet mereka.

Malah ada yang mengirim wang raya dari jauh secara maya, dan tidak bertemu secara fizikal pun kepada penerimanya. Ketika penulis masih remaja, kad raya yang beraneka saiz dan bau akan menjadi penanda kepopularan.

Setiap rumah akan tergantung kad raya dan para pemimpin negeri tidak ketinggalan mengirimkannya kepada setiap isi rumah.

Baca lain  Beri duit raya ikut kemampuan

Namun pada hari ini segala-galanya tinggal kenangan.

Bermula dengan kad raya digital pada telefon bimbit, kini mesej Aidilfitri dilakar dalam bentuk grafik bergerak, malah video dan stiker, untuk dihantar kepada individu yang disasarkan.

Dan telefon bimbit bukanlah medium utama kerana ia akan dipapar pada media sosial, yang boleh diakses melalui pelbagai platform.

Ternyata Aidilfitri telah mengalami evolusi luar biasa.

Usah ditanya pada pakaian, dengan pakaian Melayu tradisi tidak lagi dilihat sebagai “trendy”.

Malah jubah dan baju kurta telah memasuki budaya Melayu, serta menjadi kemestian dalam penyediaan busana raya.

Banyak lagi sebenarnya tradisi Aidilfitri yang semakin hilang dalam dakapan kita. 

Pihak yang berwewenang termasuk yang berkaitan dengan budaya Melayu perlu melihat perkara ini secara serius dan tuntas.

Kita akan kehilangan budaya dan tradisi Aidilfitri yang sebenar jika ia tidak dipulihara dan dihidupkan semula.

Usah pada suatu hari kelak, Aidilfitri tidak lebih daripada seperti hari-hari lain.

Hanya solat sunat raya membezakannya.

Tiada lagi anak Melayu berbusana Melayu selama tujuh hari, dan tiada rumah yang menghidangkan kek lapis dan makanan tradisi Sarawak.

Jika ini berlaku, seribu sesalan pun tidak berguna.

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak

NOTIS TENDER

BERITA LAIN

Zaman makin canggih, adab makin mundur

KETIKA masih kanak-kanak atau zaman sekolah sekitar tahun 90-an atau awal 2000, kita amat menghormati orang lebih tua terutama ibu bapa. Ini kerana kebanyakan kita

Sik nyaman jangan makan

DI Sarawak selain agama, budaya dan pakaian – makanan merupakan benda paling sensitif jika orang luar menghina. Bukan orang Sarawak tidak menerima kekurangan, tetapi menghina

Selamat pagi cikgu

ADA yang tertekan kerana tinggal bersama-sama pesakit mental, ada yang daif dan ada yang terpaksa bekerja, demi kelangsungan hidup. Pada suatu hari, salah seorang murid

Langkah ke bilik guru

ORANG kata: Kalau nak hidup senang, jadilah guru. Dan kalau mahu pendapatan yang baik diterima setiap hujung bulan, jadilah guru. Sebab itu, ramai ibu bapa

Selamat jalan sahabatku

SIAPAKAH yang dapat menduga bahawa dua rakan karib akan pergi untuk selamalamanya dalam tempoh dua minggu? Itulah yang berlaku kepada saya. Manusia tidak akan dapat

BERITA TERBARU