Tragedi duka hari pertama 2021, sembilan korban kenderaan jatuh di sungai di feri Triso. Bersama-sama sedekahkan al-Fatihah kepada keluarga malang ini

SEBUYAU: Hari pertama 2021, Sarawak dikejutkan dengan tragedi duka apabila sembilan terkorban selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terjunam di pangkalan feri Triso di Batang Lupar hari ini.
Mangsa terdiri daripada lima lelaki dan empat perempuan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memberitahu, Pasukan BBP Saratok yang tiba di lokasi dan mengesahkan kejadian kemalangan melibatkan kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger berwarna ungu yang dinaiki sembilan orang telah jatuh ke sungai Triso.
“Kematian kesemua mangsa disahkan oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Beladin Awg Mohd Hamizan Awg Indra.
“Pengesahan mengenai punca kejadian kemalangan kenderaan tersebut adalah masih dalam siasatan pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya.

 
Sembilan mangsa dikenal pasti sebagai Siti Aisha Abdullah, 36, Mohd Ahmad bin Mohd Hamdan, bayi lelaki empat bulan, Muhd Mustaqim Mohd. Hamdan, kanak-kanak lelaki lima tahun, Mohd Aiman Mohd Hamdan, kanak-kanak lelaki tujuh tahun, Ronany Ting, wanita yang juga pemandu berusia 33 tahun, Wallace Phang kanak-kanak lelaki tujuh tahun, Alvin Phang, kanak-kanak lelaki 12 tahun serta dua remaja perempuan masing-masing berusia 14 dan 16 tahun iaitu Khairunnisa Muhamad dan Nor Shuhada Mohamad.
Anggota dari BBP Saratok dan BBP Simunjan dikerahkan lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.14 petang tadi.
“Malah, PGO Sarawak yang mengikuti perkembangan kejadian melalui rakaman video daripada FB bernama Dyg Junailah leyent yang membuat rakaman secara langsung dan telah tular dikongsikan oleh warganet.
“Dalam rakaman video tersebut seramai sembilan mangsa berjaya di keluarkan oleh orang awam dengan bantuan feri dan juga jentolak di lokasi,” katanya.
Katanya, video yang berdurasi 7 minit 15 saat tersebut menunjukkan kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Tambahnya kelihatan mangsa yang dikeluarkan diberi bantuan CPR di tebingan pangkalan feri berkenaan.
“Jarak perjalanan bomba yang terdekat adalah BBP Simunjan (turn out area) sejauh 62 km dan melalui feri ke seberang sungai. Manakala balai kawasan jagaan iaitu BBP Saratok sejauh 98 km dengan melalui sebuah feri dari Feri Pusa, Saratok.
“Kenderaan mangsa dari arah Beladin hendak menaiki feri berkenaan,” ujarnya.
Difahamkan kesemua mangsa dalam perjalanan dari Sibu ke Kuching.

Suara Sarawak