KAPIT: Seramai 13 mangsa selamat manakala seorang lagi masih hilang selepas bot dinaiki mereka karam berhampiran Jambatan Mujung di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 2.37 petang dan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapatkan maklumat daripada mangsa yang selamat. Dilaporkan terdapat 14 orang mangsa berada di dalam bot semasa kejadian.
“13 orang mangsa selamat manakala seorang lagi dilaporkan masih hilang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagi tindakan operasi, jelas beliau, memandangkan keadaan jalan raya yang sesak di Kapit dan faktor cuaca, bot penyelamat tidak dapat dibawa ke lokasi.
Menurutnya, atas perbincangan bersama pihak polis dan keluarga mangsa, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dimulakan pada keesokan hari (Rabu).
Mangsa yang hilang adalah seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dikenali sebagai Linsa Empih Melin dari Rumah Geramong Nanga Sipoh, Mujong Tengah, Kapit.
Bot terbabit dinaiki oleh enam orang lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
Dilaporkan bot tersebut dari arah bandar Kapit menuju ke Rumah Geramong Nanga Sipoh, Mujong Tengah telah karam akibat arus deras dan lebih muatan.