Tragedi Pulau Kidjang: Selepas 47 tahun

SARIKEI: Disifatkan sebagai tragedi terburuk dalam sejarah maritim negara kerana mengorbankan 121 mangsa, yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Karamnya kapal MV Pulau Kidjang di muara Tanjung Jerijeh, kira-kira 3.5 batu nautika di barat bandar ini akibat dipukul ombak ketika ribut membadai kawasan terbabit, pada 27 Disember 1973 – ya, ia berlaku hari ini – 47 tahun lalu.

“Tidak mungkin lupa. Saya akan ingat sampai bila-bila,” itu kata veteran polis bantuan Zanudin Rambli,78, mengimbau kembali peristiwa tragedi kapal M.V Pulau Kidjang yang karam di Muara Rajang.

Menurut Zainudin, nama M.V Pulau Kidjang bukan asing bagi generasi sezamannya terutama mereka yang sering menaiki kapal tersebut untuk berulang-alik dari Sarikei ke Kuching.

Malah katanya, dia sendiri pernah ada pengalaman menaiki Pulau Kidjang beberapa kali sebelum kapal itu tenggelam.

ZAINUDIN RAMBLI

“Tidak ada bezanya Pulau Kidjang dengan kapal penumpang lain.

Macam biasa, ada ruang kabin dan kargo.

Selain berehat di dalam kabin, penumpang boleh duduk di atas kapal jika ingin menikmati pemandangan alam sekitar.

“Sepanjang saya menaikinya, tidak ada yang perlu dirisaukan kerana kapal itu cukup selesa dan stabil.

Malah, jika cuaca buruk dan gelombang sekali pun Pulau Kidjang masih mampu dikendalikan dengan baik, ” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurut Zainudin, menggunakan Pulau Kidjang merupakan pengalaman sangat nostalgik dan meninggalkan kesan yang mungkin tidak dirasaikan oleh generasi hari ini.

Walaupun sudah berusia, datuk kepada 17 cucu ini masih mampu mengingati kisah pelayarannya bersama kapal penumpang yang menjadi kenangan sepanjang hayatnya.

Ketika itu katanya, dia sering ke Kuching menziarahi saudaranya di samping meluangkan masa cuti bersama-sama keluarga.

“Pulau Kidjang berlabuh di jeti Jalan Nyelong sebelum berlayar pada jam 5 petang.

Oleh kerana tidak mahu ketinggalan kapal, kita harus tiba di pelabuhan lebih awal.

“Tempoh pelayaran yang panjang sekitar 11 hingga 12 jam membuatkan ada penumpang yang membawa bekalan makanan sendiri.

Bagaimanapun, makanan juga disediakan oleh krew kapal.

“Kehadiran ramai penumpang menjadikan suasana agak meriah.

Suasana itu menghilangkan kebosanan kita sepanjang pelayaran,” katanya.

Mengimbas semula detik semasa kejadian, Zainudin menceritakan, dia mendapat tahu tentang tragedi itu selepas menunaikan solat subuh.

Katanya, beberapa hari sebelum malapetaka itu, cuaca tidak menentu selain angin kencang dan hujan lebat seolah-olah menjadi petanda – sesuatu yang buruk akan berlaku.

“Semasa kejadian, saya berada di Kampung Selalang.

Masih segar dalam ingatan, riuh satu kampung apabila penduduk mendapat berita kapal ini karam.

“Suasana ketika itu agak suram dan kelam.

Ada yang tidak percaya khabar yang baharu mereka terima itu, ” ujarnya.

Ketika tragedi berlaku itu, Zainudin memikul amanah sebagai Timbalan Pengerusi Pertubuhan Belia Bersatu Sarawak (Saberkas) Kampung Selalang.

Sejurus mendengar khabar itu katanya, dia bersama-sama tiga lagi ahli Saberkas Kampung Selalang bergegas mendapatkan sebuah bot menuju ke lokasi kejadian dengan harapan menemui mangsa yang masih terselamat.

“Dengan menggunakan sebuah bot dan enjin 30 kuasa kuda, kami bertolak dari jeti Kampung Selalang seawal jam 7 pagi.

“Namun sebaik tiba di Muara Selalang, kami terpaksa berpatah balik kerana keadaan laut bergelora.

“Sepanjang perjalanan pergi dan balik itu kami tidak menemui mayat mangsa.

“Namun, pada hari sama, penduduk menjumpai mayat seorang wanita.

Dia diletakkan sementara di atas pangkalan sebelum dihantar ke Hospital Sarikei,” ujarnya.

Zainudin berkata, walaupun peristiwa hitam itu sudah 47 tahun berlalu namun, ia masih meninggalkan kesan.

Malah setiap detik yang berlaku ketika kejadian akan dikenang hingga ke akhir hayatnya.

“Mungkin ramai anak muda hari ini sudah tidak mengenali Pulau Kidjang namun bagi generasi seusia kami, nama itu akan terus mekar sampai bila-bila.

“Saya berharap ada usaha untuk memasukkan peristiwa ini dalam sukatan pelajaran sejarah Malaysia bagi memastikannya dipelajari dan menjadi ingatan kepada generasi akan datang,” tambahnya.

Al-Fatihah untuk mangsa yang terkorban!