Tragedi sebelum subuh

SARATOK: Seramai 17 penghuni berdepan detik cemas apabila tiga rumah yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Kampung Hilir Kabong awal pagi semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Bomba Sarawak berkata, insiden dipercayai berlaku sekitar jam 4.40 pagi membabitkan rumah setingkat berstruktur tidak kekal.

Kesemua penghuni katanya, terselamat apabila sempat keluar dari rumah itu untuk menyelamatkan diri.

“Kebakaran turut menjejaskan beberapa rumah berhampiran namun hanya terbakar lima peratus,” katanya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Saratok bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan memaklumkan kebakaran pada jam 4.47 pagi.
Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi, ketiga-tiga kediaman terbabit sudah musnah.

“Rumah pertama didiami empat penghuni, rumah kedua sembilan penghuni manakala ketiga empat penghuni.

Kita melakukan pemadaman susulan bagi memastikan tidak berlaku kebakaran berulang.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Suara Sarawak