Tragedi Triso: Enam beranak dikebumi dalam satu liang lahad

SIMANGGANG: Enam beranak yang maut dalam tragedi pacuan empat roda terjunam ke sungai di pangkalan feri Triso, Jumaat lalu, selamat dikebumikan dalam satu kubur lima liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu, semalam.
Si ibu Siti Aisyah Abdullah dan anak bongsu Mohd Ahmad berusia empat bulan dikebumikan dalam satu liang lahad.
Sementara Nur Syuhada, Khairunnisa, Aiman dan Mustaqim dikebumikan dalam liang lahad berasingan.
Proses bacaan talqin selesai kira-kira 6:20 petang.
Terdahulu, kesemua enam jenazah tiba di Masjid Bandar Sri Aman pada 4:40 petang untuk disembahyangkan.
Dianggarkan lebih 100 mengikuti solat jenazah yang turut disertai si bapa Mohamad Hamzah Razali dan anak keempat Mohd Imran Syafie.
Sementara lebih 1,000 membanjiri tanah perkuburan untuk menyaksikan proses pengkebumian sekali gus memberikan penghormatan terakhir.
Difahamkan, penduduk mula menggali kubur tersebut sejak pagi.
Sementara itu, tiga lagi saudara mereka yang bukan beragama Islam dibawa ke Sibu untuk disemadikan di sana.
Mereka ialah Ronany Ting, Wallace Phang dan Alvin Phang.