SEBUYAU: Pengawal di pelantar feri Triso, Lihi@Lehi Chali, 60, hari ini menyatakan, tidak ada kenderaan lain berada di belakang kenderaan pacuan empat roda (4WD) itu ketika ia mengelungsur lalu terjatuh ke dalam sungai Batang Lupar, pada petang Jumaat lalu.
Beliau berkata, ketika kejadian kenderaan terbabit tiba-tiba menuruni pelantar dan terus ke masuk ke dalam sungai.
“Ketika itu memang tidak ada feri di pelantar sebelah Muludam, kerana feri sudah pun berlepas jauh, manakala feri yang hendak sampai ke pelantar berada kira-kira 40 meter jauhnya,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Beliau percaya kenderaan pacuan empat roda terbabit, mengalami masalah brek ketika kejadian.
Katanya, kenderaan terbabit berada di dalam air kira-kira 40 minit, manakala penduduk kampung berhampiran membantu menyelamatkan kesemua mangsa.
Sementara itu, Lihi berkata seminggu sebelum kejadian itu, telah berlaku satu kemalangan apabila sebuah van melanggar bahagian pelantar naik ke dalam feri, namun tidak ada sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa berlaku.
Dalam kejadian Jumaat lalu, sembilan sekeluarga termasuk seorang bayi yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda terkorban, apabila kenderaan yang mereka naiki jatuh ke dalam sungai Batang Lupar di pangkalan feri Triso.
Tinjauan Bernama di pangkalan feri Triso hari ini mendapati kerja membaik pulih pondok pengawal keselamatan sedang giat dilakukan, manakala beberapa petugas feri kelihatan mengawal pergerakan keluar masuk kenderan dan penumpang, ke dalam dan keluar feri.
Pemerhatian ini turut mendapati rata-rata pemandu kenderaan dan penumpang mematuhi arahan yang dikeluarkan petugas-petugas ini, dan operasi feri didapati berjalan lancar.
Bagaimanapun, setakat ini kerja pembinaan penghadang di pelantar masih belum dilaksanakan seperti yang diarahkan Timbalan Ketua Menteri II Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pelabuhan negeri Tan Sri Dr James Masing pada Sabtu lalu.

Jurulatih baharu Sarawak United FC
KUCHING: Presiden Sarawak United FC, Datuk Posa Majais memberi bayangan