“SAYA mahu mengubah kehidupan keluarga, keluar daripada belenggu kesusahan dan kemiskinan yang berterusan,” ujar salah seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sarawak sekitar 25 tahun yang lalu.
Beliau menjadikan ia sebagai dorongan untuk berjaya dalam peperiksaan penting itu, dan sebagai landasan meneruskan pengajian hingga ke peringkat tertinggi di menara gading.
Kini lebih dua dekad sudah berlalu, beliau berjaya mengubah kehidupan keluarga, berteduh di bawah bumbung rumah yang lebih besar dan selesa.
Malah kejayaannya dalam akademik menjadi inspirasi dan ikutan adik-beradik yang lain serta penduduk kampung.
“Cemerlang dalam akademik, adalah salah satu tiket mudah untuk mendapatkan pekerjaan yang bagus dengan gaji yang boleh menampung keperluan peribadi dan keluarga,” katanya.
“Saya akui rezeki seseorang bukannya ditentukan melalui akademik semata-mata, kerana ramai juga yang berpendapatan tinggi di luar sana bukan daripada kalangan mereka yang cemerlang dalam akademik.
“Tetapi yang pasti, kebanyakan mereka yang mempunyai pekerjaan yang bagus adalah daripada kalangan yang berjaya dalam akademik… oleh itu ada jaminan dan kepercayaan yang tinggi terhadap akademik,” katanya.
Menurutnya membantu keluarga untuk menikmati kehidupan yang lebih baik merupakan satu anugerah Illahi yang tidak ternilai.
“Saya amat bersyukur, atas sokongan ibu bapa walaupun dalam keadaan sukar, saya berjaya dalam akademik dan telah mengubah kehidupan keluarga,” katanya.
Pesanan beliau kepada pelajar yang akan menduduki SPM tahun ini;
“Jangan jadikan kesusahan keluarga sebagai halangan dalam akademik… inilah peluang terbaik untuk anda buktikan, tanggungjawab dan pengorbanan sebagai anak.”
Pesanan beliau kepada pelajar cemerlang SPM 2022;
“Teruskan perjuangan dengan peluang yang ada, manfaatkan sepenuhnya, dengan tekad, impian dan cita-cita.
“Bagi mereka yang gagal atau hanya meraih keputusan sederhana, usah menoleh ke belakang… baiki keputusan dengan mengambil semula peperiksaan, atau ceburi bidang lain yang anda minati.
Generasi sekarang cukup bertuah, kerana banyak peluang disediakan oleh kerajaan di luar sana,” katanya.
Yang pasti Kerajaan Sarawak sentiasa komited menyediakan peluang pembelajaran serta meningkatkan mutu pendidikan di negeri ini.
Ia terbuka luas melalui pelbagai institusi swasta, di samping institusi awam sedia ada.
Malah ia diperluas ke beberapa bahagian, di negeri ini, sebagai salah satu transformasi pendidikan yang tidak hanya tertumpu kepada satu bahagian.
Misalnya sebelum ini, hanya di pusat bandar utama seperti Kuching, Samarahan, Bintulu dan Miri.
Tetapi telah pun diperluas ke beberapa bahagian lain ke zon tengah seperti Mukah, Betong dan Sibu.
Ia bukan sekadar memberi peluang lebih baik kepada pelajar berdekatan, tetapi menggalakkan integrasi dalam kalangan penduduk pelbagai kaum di Bumi Kenyalang.
Malah secara tidak langsung merangsang pelbagai program berkaitan pendidikan di kawasan terbabit, serta meningkatkan prestasi ekonomi kawasan berkenaan.
Kerajaan Sarawak mengambil pendekatan serius dalam meningkatkan mutu pendidikan dan kemenjadian generasi muda di negeri ini.
Kesungguhan itu merupakan inisiatif kerajaan untuk memastikan kualiti pendidikan Sarawak tidak ketinggalan berbanding negeri lain.
Oleh itu, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak diberi tanggungjawab melaksanakan dasar untuk melengkapkan usaha Kerajaan Persekutuan.
Pendekatan itu bertujuan menambah baik pembangunan pendidikan Sarawak agar bidang ini terus dinamik.
Dari segi pendidikan dan modal insan, Sarawak berhasrat untuk memastikan pendidikan berkualiti boleh diakses oleh setiap lapisan rakyat.
Kerajaan juga komited membangunkan masyarakat berasaskan pengetahuan yang berdaya saing di peringkat global, dan sudah pasti juara peringkat lokal.
Menjelang 2030, Sarawak mempunyai persekitaran kerja yang berkualiti untuk memacu wawasan negeri.
Terbaharu Kerajaan Sarawak menubuhkan Tadika SeDidik Penan di kawasan pedalaman, Baram.
Ia bagi memastikan pendidikan awal kanak-kanak tidak terabai di kawasan terpencil.
Malah ilmu terkini turut dikongsikan.
Seperti yang dijelaskan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa, Kerajaan Sarawak mahu akses pendidikan di negeri ini, menelusuri segenap pelosok negeri, dari bandar ke pinggir bandar serta ke segenap desa, malah nun jauh ke pedalaman.
“Setiap anak Sarawak harus didedahkan dengan pendidikan yang membolehkan mereka membesar dengan dilengkapi ilmu terkini, sekali gus melahirkan modal insan yang berkualiti dan menyumbang kepada aspirasi menjadikan Sarawak maju dan berpendapatan tinggi,” kata Abang Johari.
Ia selaras dengan hasrat Sarawak untuk menjadi negeri maju pada 2030, seiring ledakan ekonomi yang berkonsepkan tenaga hijau dan digital.
Oleh itu, kepakaran tenaga tempatan diperlukan bagi memenuhi hasrat ini, tanpa terlalu bergantung kepada pakar dari luar.
Oleh itu, Kerajaan Sarawak mengambil serius berkenaan sekolah daif di negeri ini agar dibaik pulih dengan segera, bagi memastikan setiap pelajar menikmati suasana pembelajaran yang kondusif, sekali gus merangsang perkembangan akademik dari semasa ke semasa.
Di samping itu, perubahan pendidikan juga penting, daripada peringkat sekolah rendah sehingglah ke menengah rendah dan tinggi.
Kita pernah mempunyai subjek Sains Pertanian suatu ketika dahulu, malah mempunyai Universiti Pertanian Malaysia.
Sebagai negara yang sedang menuju ke arah pertanian, antara sumber utama ekonomi, serta keselamatan makanan, maka ilmu sains pertanian amat penting untuk generasi sekarang ini, bagi memupuk minat mereka terhadap pertanian.
Ia perlu bergerak seiring, dengan ledakan teknologi masa kini, yang boleh memberikan hasil berlipat kali ganda, sekali gus meningkatkan sumber makanan di negara kita.
Pertanian masa kini bukan lagi terikat kepada pekerjaan kolar biru, tetapi sudah memasuki era pekerjaan kolar putih, dengan memanfaatkan segala ilmu sains dan teknologi, melalui kaedah terkini, biarpun hanya duduk di dalam bilik pendingin hawa.
Realitinya, segalanya bermula dengan pendidikan akademik.
Kita memerlukan sekumpulan besar cendekiawan berilmu, bagi memenuhi permintaan pasaran kerja peringkat tertinggi dan sederhana dalam masa terdekat dan akan datang.
Kejayaan dalam akademik bukan sekadar untuk transformasi kehidupan peribadi dan keluarga, tetapi juga penyumbang kemakmuran ekonomi negeri dan negara, demi masa depan anak bangsa.