Trending

Transformasi Najib dalam kenangan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
FOTO: Official Facebook page of Najib Razak

Selasa negara dihebohkan dengan kisah ‘akhir’ karier politik bekas Perdana Menteri Keenam Datuk Seri Najib Tun Razak.

Usah cerita banyak, kerana semua orang sudah tahu! Di pelbagai platform media, sememangnya tiada cerita lain… Najib, Najib dan penjara.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas bekas Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Pekan itu kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Semoga menjadi pedoman kepada semua kita untuk sentiasa mengikut jalan yang lurus.

Bagi tuan punya badan yang kini berusia 69 tahun, tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir serta sokongan padu yang diberikan selama ini.

“Saya minta maaf, saya telah berusaha sedaya upaya tetapi nampaknya setiap usaha saya mohon kepada mahkamah telah ditolak,” katanya.

Anak kelahiran Kuala Lipis pada 23 Julai 1953 itu kelihatan tenang meminta penyokongnya untuk menunggu sebarang keputusan mahkamah dan mendoakan yang terbaik.

Penulis ingin bercerita dimensi lain tentang Najib yang memegang jawatan perdana menteri bermula 3 April 2009 sehingga 9 Mei 2018.

Sarawak boleh dikatakan antara negeri yang disifatkan dekat dengan anak lelaki sulung kepada bekas perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Datuk Hussein.

Semasa pemerintahannya, beliau merupakan ‘bos’ di Putrajaya yang paling kerap datang ke Sarawak.

Memetik satu tulisan Penganalisis Politik, Dr Jeniri Amir, tentu bagi sebahagian orang ini satu ironi.

Ya, bagaimana seorang yang dibelenggu skandal dan diserang bertubi-tubi oleh musuh politiknya, masih diterima baik oleh pelbagai peringkat masyarakat.

Termasuk mereka yang pernah menolak beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Pasti ada yang tidak faham akan fenomena ini.

Ingat, ketika memegang tampuk kepimpinan negara selama sembilan tahun, beliau banyak memperkenal transformasi dan inisiatif termasuk Gagasan 1Malaysia.

Paling rakyat tidak lupa cetusan idea mewujudkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Selain itu, pada zaman Najib kita ada Kedai Rakyat 1Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia, Baucar Buku 1Malaysia, Skim latihan 1Malaysia dan Model Ekonomi Baharu.

Seyogia diingatkan, beliau telah berkunjung ke Sarawak lebih daripada 60 kali ketika menjadi perdana menteri.

Pastinya menjadikan individu yang popular dengan gelaran Bossku itu paling kerap ke Bumi Kenyalang.

Ia turut diakui bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, yang menyifatkan Najib sentiasa prihatin dengan keperluan dan nasib rakyat.

“Beliau datang ke sini tidak dengan tangan kosong kerana hampir 50 kali (sehingga 2016) datang ke sini, beliau telah memberi sebanyak RM3 bilion kepada kita.

“Ini tidak termasuk pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang menelan kos sebanyak RM16 bilion,” katanya dalam salah satu program di Mukah, pada 2016.

Bercakap tentang Lebuh Raya Pan Borneo, ada perdana menteri yang memerintah negara selama 22 tahun tetapi lebuh raya yang sangat diimpikan rakyat di mana?

Apa-apa pun keputusan mahkamah terhadap Najib sangat jelas.

Beliau mungkin sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada kerjaya politiknya.

Kerana, peraturan pilihan raya menetapkan seseorang yang didapati bersalah oleh mahkamah di Malaysia dan dijatuhi hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang dari satu tahun atau denda tidak kurang dari RM2,000 dan belum mendapat pengampunan, tidak layak untuk bertanding sebagai calon.

Pemimpin kerajaan sedia ada pula harus membuka mata seluas-luasnya.

Apabila yang dilakukan itu salah, maka tetap salah. Semoga tiada pemimpin Keluarga Malaysia yang merosakkan nama kerajaan demi kepentingan peribadi.

Mungkin jika kita lepas timbangan di dunia sekalipun, di akhirat lebih dahsyat.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru