Trauma, dunia seolah-olah gelap

KUCHING: “Alhamdullah kami tiga anak-beranak sudah sihat dan pulih sepenuhnya,” kata Zainon Zaini, 33, yang merupakan bekas pesakit positif Covid-19 bersama-sama dua anaknya.
Dia kini menjalani kehidupan seperti biasa dengan menjual kuih-muih tradisional resipi peninggalan arwah ibunya.
“Orang sekeliling pun semakin menerima keadaan kami tiga beranak tetapi kami sentiasa menjaga SOP serta jarang keluar rumah.
“Selepas keluar hospital, kami tiga beranak mengambil vitamin C sebagai tambahan mengukuhkan antibodi,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.
Mengakui masih trauma meskipun setahun selepas pandemik Covid-19 muncul secara global, Zainon meminta orang ramai terus mematuhi SOP.
“Selepas keluar dari Hospital Umum Sarawak (HUS), kami bertiga masih kuarantin kendiri sebab doktor memberitahu meskipun cecair virus tiada lagi di hidung tetapi masih di najis.
“Sebulan selepas itu, kami tiga beranak beransur-ansur menjalani kehidupan seperti biasa,” jelasnya.
Katanya, meskipun doktor memberitahu risiko masalah jantung terhadap kanak-kanak selepas dijangkiti Covid-19 tetapi dia bersyukur kedua-dua anaknya kekal sihat.
Berasal dari Kampung Rampangi Skim, dia dikuarantin selama sebulan di Hospital Umum Sarawak (HUS) bersama-sama dua anaknya berusia tujuh dan tiga tahun yang turut didapati positif Covid-19.
“Kami bertiga didapati positif Covid-19 pada 31 Mac tahun lalu.
Pada 29 Mac, saya membawa anak kedua ke HUS kerana dia memasukkan manik ke dalam hidung yang kemudian berjaya dikeluarkan oleh doktor tetapi disahkan terdapat jangkitan kuman pada paru-parunya,” katanya.
Menurutnya, bertemu dengan doktor di HUS hanya sekadar sebab dan menyedari mereka bertiga dijangkiti Covid-19.
Tambahnya, punca jangkitan sehingga kini masih dalam siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Selepas menerima keputusan positif Covid-19, dunia seolah-olah gelap dan saya kerap menangis sehingga dua hari tidak dapat tidur.
“Malah, selepas didapati positif Covid-19, ambulans datang ke rumah untuk mengambil kami bertiga dan dibawa ke HUS pada hari yang sama,” ujar ibu muda ini. Zainon memberitahu, pada 4 April, mereka bertiga keluar dari HUS dan menjalani tempoh kuarantin sehingga 21 April di Kompleks Belia dan Sukan (KBS).
“Saya hanya mengalami sakit tekak dan batuk namun tidak demam mulai 17 Mac. Gejala yang sama dialami anak sulung pada 20 Mac.
Sehari kemudian, anak bongsu turut sakit tekak dan batuk tetapi tidak demam,” jelasnya.
Menurutnya, pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang tempoh mendapatkan rawatan ialah melakukan tiga kali ujian calitan bersama-sama anak-anak selain pemeriksaan rutin.
Apabila disahkan sembuh pada 5 Mei tahun lalu (tamat tempoh kuarantin di rumah selepas didiscaj) hanya ungkapan syukur kepada Maha Esa meniti di bibirnya setiap hari.
Mengulas mengenai penerimaan masyarakat terhadap mereka bertiga Zainon berkata, ada yang takut berbual dengan mereka.
“Doktor menasihati saya supaya jangan terlalu risau kerana virus Covid-19 tiada lagi di dalam hidung dan mulut kami bertiga. “Saya ingin merakamkan penghargaan kepada doktor dan jururawat yang merawat kami kerana sentiasa mengambil berat,” ujarnya.
Dia bersyukur kerana dua anaknya seolah-olah memahami tempoh kuarantin dan tidak terlalu meragam.
“Terima kasih kepada keluarga yang sentiasa menyokong, bapa, rakan arwah emak dan kawan-kawan yang sentiasa bertanya khabar menggunakan pelbagai medium,” katanya.
Zainon kini kembali aktif menjual kuih penyaram yang dijenamakan sebagai edram melalui media sosial.

KUIH tradisional yang dijual oleh Zainon.

“Saya berniaga kuih tradisional kerana mengenangkan tiada yang menjaga anak jika bekerja.
“Saya bersyukur kerana kuih edram mendapat sambutan menggalakkan sehingga ditempah pelanggan dari Johor dan Kuala Lumpur,” katanya.
Kuih edram dijual dalam dua bungkusan berharga RM3 (sembilan keping) dan RM10 (30 keping).
Orang ramai boleh melayari Facebook Zainor Supplier untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kuih edramnya.