BINTULU: Bahagian belakang sebuah lori treler 14 tayar rosak selepas terbakar berhampiran simpang Kilang Semanok, Jalan Bintulu- Tatau dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau, Jankey Jikat berkata, kebakaran bermula dari salah satu tayar belakang lori tersebut sebelum merebak ke bahagian lain.
Menurutnya, sepasukan anggota Bravo BBP Tatau digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.38 pagi.

“Setibanya di lokasi, didapati benar berlaku satu kebakaran melibatkan tayar pada bahagian belakang lori treler kenderaan berat jenis 14 tayar.
“Tindakan anggota bomba, membuat pemadaman kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula, dari tangki jentera sehingga kebakaran terkawal dan dipadamkan sepenuhnya.
“Setelah selesai, anggota memeriksa semula keadaan untuk memastikan api terpadam sepenuhnya,”ujarnya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.30 pagi.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan kerosakan yang berlaku masih belum ditentukan.