Tren kehamilan remaja Sarawak menurun sebanyak 38.3 peratus

KUCHING: Tren kehamilan remaja di Sarawak menunjukkan penurunan bilangan kes sebanyak 38.3 peratus(1,302 kes) antara tahun 2014 (3,401 kes) dan 2020 (2,099 kes).
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pihaknya ingin terus melihat penurunan bilangan dan peratus remaja hamil di Sarawak.
“Selain itu, peratusan kehamilan remaja daripada jumlah kes baharu antenatal juga menunjukkan tren penurunan sebanyak 2.2 peratus antara 2014 (8.4 peratus) dan 2020 (6.2 peratus),” katanya.
“Walaupun bilangan kes semakin menurun sebanyak 38.3 peratus sejak tujuh tahun lepas, namun adalah menjadi objektif utama kita untuk melihat penurunan bilangan kes tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media secara maya mengenai One Stop Teenage Pregnancy Comunnitee (OSTPC) di sini, hari ini.
Tambah Fatimah, peratusan antara bilangan bayi yang dibuang dengan bilangan kes remaja hamil di Sarawak menunjukkan tren peningkatan dan penurunan yang tidak ketara dengan kadar di bawah satu peratus iaitu antara 0.09 peratus hingga 0.46 peratus.
Jelasnya, sejak tahun 2014 sehingga tahun 2020 terdapat 41 kes buang bayi atau janin telah dicatatkan oleh Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak (D11) PDRM Sarawak.
“Bilangan ini harus diturunkan kerana ia akan menjejaskan banyak perkara yang berkaitan masa depan remaja yang hamil dalam usia muda.
Selain itu, kita juga akan sentiasa memastikan keberkesanan sistem sokongan seperti di OSTPC sentiasa memberi yang terbaik untuk kes-kes tersebut,” katanya lagi.