Trend remaja hamil menurun

KUCHING: Trend remaja hamil di Sarawak menunjukkan penurunan ketara dalam tempoh lima tahun lalu, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menurutnya, pada 2015, sebanyak 2,909 kes remaja hamil dicatatkan di Sarawak manakala 2,481 kes (2016), 2,130 kes (2017), 2,153 kes (2018) dan 1,967 kes tahun lalu. “Tahun lalu, Bahagian Kapit merekodkan remaja hamil tertinggi iaitu 126 kes atau 8.9 peratus berdasarkan jumlah populasi.

“Ini diikuti Bintulu dengan 259 kes atau 7.1 peratus, Miri (300 kes atau 5.8 peratus), Kuching (526 kes atau 5.5 peratus) dan Sibu (225 kes atau 5.4 peratus),” katanya pada Wacana Minda: Buletin Indikator Sosial Sarawak Siri Masa 2015-2016 di Pustaka Negeri di sini, semalam.

Menurut Fatimah, kes remaja hamil berpunca daripada perkahwinan bawah umur atau tanpa perkahwinan.

“Perkahwinan di Sarawak tertakluk kepada tiga bidang kuasa perundangan iaitu sivil, syariah dan adat.

“Tahun lalu, kita mencatatkan 107 kes atau 1.3 peratus remaja berkahwin mengikut syariah yang terdiri daripada 48 lelaki (bawah 18 tahun) manakala 59 perempuan (bawah 16 tahun),” jelasnya.

Tambahnya, mengikut Majlis Adat Istiadat pula, sebanyak 452 kes remaja berkahwin dengan 78 lelaki manakala 374 perempuan yang masing-masing berusia bawah 18 tahun. “Perkahwinan remaja mengikut sivil adalah sebanyak 56 kes yang semuanya melibatkan perempuan.

“Antara faktor yang membawa kepada perkahwinan bawah umur adalah perundangan masih longgar, kemiskinan, tidak berminat dengan pendidikan, tercicir daripada alam persekolahan serta mudah akses kepada teknologi terkini,” ujarnya.

Fatimah memberitahu, bagi mengatasi perkahwinan bawah umur, perundangan perlu jelas dan diperketatkan untuk melindungi hak kanak-kanak selain memberi kesedaran yang berterusan kepada setiap lapisan masyarakat.

Suara Sarawak