Trienekens tutup sementara loji rawatan sisa berbahaya

KUCHING: Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd mengambil langkah pencegahan segera dengan menutup segera loji rawatan sisa berbahaya di Taman Pengurusan Sisa Bersepadu di Mambong, susulan seorang kakitangannya di situ yang disahkan positif Covid-19.

Selain itu, semua rakan sekerja yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit terbabit turut dikuarantin, sementara menunggu keputusan ujian calitan Covid-19.

“Di Trienekens, kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan pelanggan serta pekerja adalah keutamaan kami.

“Kami ingin mengesahkan salah seorang daripada kakitangan kami di loji rawatan sisa berbahaya, Taman Pengurusan Sisa Bersepadu di Mambong, telah disahkan positif Covid-19,” kata syarikat itu menerusi satu notis yang dikeluarkan, hari ini.

Selain itu, Trienekens turut menetapkan langkah berjaga-jaga tambahan untuk keselamatan pekerja iaitu dengan melakukan operasi sanitasi sebanyak empat kali sehari di loji rawatan sisa berbahaya berkenaan.

Pada masa sama, setiap pekerja juga diberikan pakaian pelindung diri (PPE) dan sanitasi.

Malah, operasi sisa berbahaya dan operasi sampah perbandaran turut diuruskan secara berasingan.

Menjelas lanjut, Trienekens menyatakan kakitangan yang disahkan positif Covid-19 itu kali terakhir turun bekerja pada 18 Februari lalu.

“Dia mendapat maklumat bahawa saudaranya disahkan positif Covid-19.

“Dia kemudian segera menjalani ujian calitan Covid-19 disahkan positif pada 20 Februari,” katanya sambil menambah pesakit kini dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Syarikat itu juga menegaskan akan terus bekerjasama dan melaksanakan semua arahan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi Hotline Trienekens di 082 – 612300 atau email customercare@trienekens.com.my.

Suara Sarawak