Trump kecohkan dunia politik Amerika sekali lagi

WASHINGTON: Satu rakaman audio yang disiarkan oleh akhbar Washington Post semalam yang memperdengarkan permintaan Presiden Donald Trump memberi tekanan kepada Setiausaha Negeri Georgia, Brad Raffensperger.
Trump mahu ‘mendapatkan’ undi yang cukup bagi mengatasi kekalahan pilihan raya yang telah dimenangi oleh Joe Biden dan ia menimbulkan pelbagai reaksi di seluruh Washington.
Rakaman itu yang merupakan salah satu usaha sejumlah anggota parlimen Republikan mencabar kemenangan pilihan raya Biden akhir minggu ini.
Ia disusuli persaingan di Georgia untuk memutuskan kawalan Senat AS dan kemungkinan akan berlaku protes pro-Trump di Washington dan dijangka arena politik AS semakin panas dan menarik perhatian dunia global.
Semalam penggubal undang-undang kembali bekerja di Capitol Hill, dan ahli Demokrat, Nancy Pelosi kembali dipilih sebagai Speaker Dewan Perwakilan, namun tumpuan politik sebenarnya akan muncul pada lewat minggu ini.
Hasil penyiaran rakaman terbabit, Demokrat dan beberapa ahli Republikan mengkritik hebat Presiden yang bakal berundur itu. Trump turut menyiarkan ciapan di Twitternya mendakwa berlaku penipuan dalam pemilihan 3 November lalu.
Perbualan yang dirakam antara Trump dan Raffensperger yang juga ahli Republikan, termasuk ancaman samarsamar oleh Trump.
Presiden itu memberitahu Raffensperger dan pegawai lain mungkin berdepan risiko besar jika mereka gagal mengambil langkah untuk menafikan kemenangan Biden.
Penjumlahan undi di Georgia dilakukan sebanyak tiga kali, setiap kali ia menunjukkan calon Demokrat Joe Biden menewaskan Trump dengan margin yang tipis. Biden diumumkan memenangi semua 16 undi elektoral di Georgia.
Rumah Putih pula enggan memberi komen selepas penyiaran rakaman tersebut namun Demokrat memberi respon yang sebaliknya.
Timbalan Presiden terpilih Kamala Harris menyelar rakaman itu sebagai “tindakan terdesak” dan “penyalahgunaan kuasa secara terang oleh Presiden Amerika Syarikat” semasa menyertai satu rali di Savannah, Georgia.

Suara Sarawak