Tuai rumah, JKKK diminta jalankan tugas memantau komuniti

BETONG: Tuai rumah serta ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sembilan rumah panjang yang dikenakan sekatan pergerakan akibat penularan Covid-19 diarah menjalankan tugas kepolisan komuniti di rumah panjang masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, mereka harus memastikan anak buah masing-masing mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tanpa gagal seperti yang ditetapkan oleh pihak kesihatan.

Menurutnya, kali ini mereka akan menggalas tanggungjawab mengawal selia keadaan semasa tempoh sekatan keluar masuk. “Kita ingin melihat bagaimana keberkesanannya kerana sebelum ini ada penghuni rumah panjang yang sukar mendisiplinkan diri sehingga menyelinap keluar.

“Akhirnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu mengakibatkan peningkatan kes positif di rumah panjang. “Justeru, kali ini tuai rumah serta barisan ahli JKKKnya harus memastikan penduduk tinggal di bilik masing-masing sepanjang tempoh sekatan.

“Ini termasuk memastikan mereka terus mematuhi SOP dan tidak dibenarkan bergerak untuk bergaul sehingga dapat membantu memutuskan rantaian penyebaran,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Betong (JPBBB) mengenai situasi pandemik Covid-19 di bahagian tersebut, hari ini.

Suara Sarawak