Tubuh institut China-Sarawak

KOTA SAMARAHAN: Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Amar Micheal Manyin Jawong mencadangkan agar Institut China-Sarawak ditubuhkan di Sarawak.

Menurutnya, penubuhan institut tersebut menyerupai Institut Jerman-Malaysia (GMI) yang menawarkan kursus selama setahun dengan pelajar perlu menguasai bahasa Jerman sebelum mereka dihantar ke sana.

“Ini permintaan saya, dan berharap Persatuan Kebudayaan dan Pendidikan Asean-China (ACEC) mempertimbangkan cadangan ini.

“Mungkin kita boleh membina institut ini di sini (Kota Samarahan),” katanya ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Penutupan Persidangan Inovasi, Sains dan Teknologi Antarabangsa untuk Penyelidikan dan Pendidikan (InnoSTRE) Edisi Khas secara maya di UiTM Kampus Samarahan, di sini pada Rabu.

Tambahnya, penguasaan bahasa asing itu juga selaras dengan penekanan yang sering diberikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang ingin melihat rakyat fasih dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

“Bagaimanapun, perkara ini bukan bermakna kita memandang rendah bahasa Melayu kerana ia merupakan bahasa kebangsaan kita, menyatupadukan rakyat dan identiti kita. Kita perlu berasa bangga dengannya.

“Untuk meneruskan kehidupan dalam dunia ini, kita perlu menguasai bahasa Inggeris yang juga merupakan bahasa perdagangan… kini ia merupakan bahasa perdagangan, sains, teknologi dan bahasa diplomasi,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, China mempunyai 1.4 bilion penduduk dan merupakan ekonomi kedua terbesar di dunia, yang secara tidak langsung bahasa Mandarin akan menjadi bahasa perdagangan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Jadi, saya mencadangkan kepada ACEC untuk membawa pelajar Sarawak mengikuti pendidikan di universiti di China. “Tetapi ketika saya mendapat surat daripada pihak anda yang meminta kami mencalonkan dua atau tiga pelajar untuk melanjutkan pelajaran di universiti di China, saya tidak dapat menemui calon yang sesuai,” ujarnya.

Berikutan itu, beliau mengalu-alukan jika ACEC menubuhkan institut yang sama seperti GMI di Sarawak yang akan dikenali sebagai Institut China-Sarawak.

“Ia juga akan membantu mereka untuk mahir dalam bahasa Mandarin dalam tempoh setahun dan dapat mengikuti kursus di institusi pengajian tinggi anda.

“Bagaimanapun, apa-apa sahaja yang dilakukan oleh ACEC untuk Sarawak adalah baik dan kami amat menghargainya,” tegas beliau.

Suara Sarawak