KUCHING: Prihatin dengan musibah yang dihadapi tiga buah keluarga yang terjejas akibat kediaman mereka terbakar di Jalan Satok 21 di sini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Satok Datuk Ibrahim Baki menghulurkan bantuan kewangan kepada keluarga tersebut.
Ketika ditemui pemberita, Ibrahim berkata selain menyerahkan sumbangan, lawatannya adalah untuk memberi sokongan moral kepada tiga keluarga ini.
“Diharapkan sumbangan ini dapat membantu mereka sementara menunggu tuntutan insurans. Dan lebih penting, ia sebagai sokongan moral kepada mereka,” ujar Ibrahim semasa bercakap kepada pemberita, di sini pada Isnin.
Beliau menyifatkan insiden kebakaran pada Khamis lalu sebagai ganjil, iaitu salah sebuah rumah tersebut terbakar dua kali dalam tempoh 12 jam.
Dua lagi rumah yang bersebelahan turut musnah dalam insiden tersebut. Oleh itu, Ibrahim berkata pihaknya telah meminta pihak polis untuk membuat rondaan lebih kerap di kawasan tersebut.
“Ini bukan satu-satunya kes sebegini, saya juga mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah pasukan Kejiranan Mesra (KJM).
“Justeru, ia akan membolehkan mereka membuat rondaan di kawasan ini dan mempunyai ‘direct link’ kepada pihak polis,” ujar beliau.
Dalam lawatan tersebut, Ibrahim telah menyampaikan bantuan tersebut kepada wakil keluarga mangsa kebakaran. Beliau juga menyerahkan sumbangan kewangan daripada SUPP Satok dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Green Road Kawasan A. Salah seorang mangsa kebakaran Neolita Yusuf, 64, bersyukur atas sumbangan tersebut.
“Terima kasih kepada Adun Satok kerana turun padang melawat dan menyerahkan sumbangan kepada kami,” ujarnya. Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abdul Samat Gany; Kapitan Tan Kok Chiang, wakil SUPP Satok dan wakil JKKK Green Road.