
KUCHING: Penubuhan Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah diharap dapat memperkenalkan lebih banyak produk baharu sekali gus menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat negeri ini.
Adun Tanjung Batu Johnny Pang Leong Ming memberitahu, dengan penggubalan RUU tersebut diharapkan kedua-dua tanaman itu akan dibangunkan dalam skala besar untuk dikomersialkan selari dengan wujudnya pusat penyelidikan sagu dan nipah.
“Justeru, saya mencadangkan agar lembaga yang diwujudkan kelak dapat menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R & D) sagu dan nipah di Sarawak bagi menghasilkan produk baharu yang amat diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan menyokong RUU Penubuhan Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah 2022 pada Persidangan DUN, di sini, hari ini.
Jelasnya, dengan R & D yang betul, Sarawak akan dapat mempelbagaikan produk baharu termasuk aktiviti hiliran, sekali gus mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan perniagaan.