Tubuh semula Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan

KUCHING: Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan diaktifkan semula bagi menyelesaikan isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan atau dokumen pengenalan diri.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi kelulusan untuk menubuhkan semula jawatankuasa itu.

“Minggu ini, saya menerima maklumat berkenaan dengan permohonan kami bahawa KDN meluluskan jawatankuasa ini untuk ditubuhkan semula.

. “Selain itu, ada perubahan dari segi keahlian iaitu pengerusi bersama dalam Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di antara KWKPK bersama-sama dengan Unimas Holdings Sdn. Bhd. di BCCK di sini, pada Rabu.

Fatimah menambah, berita itu merupakan satu perkara yang amat baik kerana dua pengerusi akan berada dalam jawatankuasa itu iaitu beliau sendiri serta Timbalan Menteri Dalam Negeri.

“Ini bermakna kita dapat mempercepatkan lagi proses untuk meneliti setiap kes dan memberi keputusan terhadap permohonan. “Ia amat penting kerana semakin lama kita menangguhkan kelulusan permohonan itu, semakin banyak masalah yang akan dihadapi oleh kanakkanak apabila mereka semakin membesar,” jelasnya.

Menurut Fatimah, mesyuarat bersama yang pertama selepas jawatankuasa itu dihidupkan semula pada 20 April ini. Mereka akan memastikan setiap perancangan dilakukan khususnya berkaitan dengan permohonan sebelum ini yang dihantar ke KDN.

Mengulas lanjut mengenai jumlah permohonan status kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan sejak 2016, Fatimah mendedahkan jawatankuasa itu telah menerima sebanyak 727 permohonan.

Suara Sarawak