TUDM guna pesawat CN235 terbangkan vaksin ke Sibu, Bintulu dan Miri

KUCHING: Sebuah pesawat TUDM jenis CN235 telah digerakkan untuk menerbangkan vaksin Pfizer-BioNTech ke Bahagian Sibu, Bintulu, dan Miri awal pagi tadi.

Komander Pengkalan Udara Kuching (TUDM) Kolonel Mohd Azwan Mohd Bohari berkata, pesawat tersebut telah mendarat di Sibu dan Bintulu dan destinasi terakhir adalah Miri.

“Kita menjalankan program vaksinasi serentak pada hari ini untuk anggota di ketiga-tiga bahagian tersebut,” katanya semasa ditemui pemberita semasa Program Imunisasi Covid-19 di sini, hari ini.

Sementara itu, Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Azhar Ahmad berkata, anggota tentera yang lain akan mengambil vaksin secara berperingkat.

“Terima kasih kepada kerajaan dan pucuk kepimpinan tentera darat bagi memastikan setiap anggota akan menerima vaksin ini.

“Kita akan sentiasa berjaga-jaga dan membantu kerajaan bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 berkenaan,” ujarnya.

Suara Sarawak