Tuduhan DAP terhadap GPS tidak wajar – Ahmad Ibrahim

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak pernah mengabaikan mandat rakyat dan tidak ada kaitan dengan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata pemimpin akar umbi dari parti komponen gabungan itu.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Ahmad Ibrahim, tuduhan yang dibuat oleh pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak itu adalah tidak berasas.

“DAP hanya tahu menyalahkan orang lain walaupun salah sendiri.

“Mereka harus sedar, pengundi GPS bukan penyokong PH dan GPS menghormati kehendak orang yang mengundinya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Ketua Wanita DAP Sarawak, Irene Chang yang menyifatkan GPS mengabaikan mandat rakyat sehingga menyebabkan kerajaan PH yang dipilih secara demokrasi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, tumbang.

ADUN Bukit Assek itu turut menyatakan sokongan GPS terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah bertujuan mencapai cita-cita politik mereka untuk kembali berada dalam kerajaan persekutuan.

Ahmad yang juga Exco Saberkas Sarawak dan Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menambah apa yang diperkatakan pemimpin DAP Sarawak itu adalah salah tanpa fakta yang benar.

“Semasa dipilih, GPS merupakan sebahagian daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu…jadi, DAP sepatutnya tahu bahawa pengundi GPS adalah bukan penyokong PH,” katanya.

Sementara, Naib Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Satok Shankar Ram melihat tindakan GPS itu adalah menyelamatkan negara daripada kemelut politik yang hampir melumpuhkan ekonomi.

Katanya disebabkan oleh perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin PH, mata wang negara menjadi lemah dan pasaran saham menurun.

“Bayangkan apa yang akan berlaku kepada ekonomi Malaysia sekiranya pergolakan politik seperti ini berterusan selama berbulan-bulan tanpa Kabinet dan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata kepimpinan PH kini tidak lagi boleh dipercayai kerana ia jelas gagal dalam mentadbir negara, sejak mengambil alih tampuk kepimpinan dalam PRU14 yang lalu.

Shankar Ram

Suara Sarawak