Tujuh ditahan buka bengkel

KUCHING: Polis menahan tujuh individu ingkar arahan PKP pada dua bengkel yang sedang beroperasi pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, aktiviti membuka bengkel pada hari yang tidak dibenarkan itu dikesan ketika polis sedang membuat rondaan Ops Covid-19 di kedua-dua lokasi.

Menurutnya, kesemua suspek warga tempatan terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 19 hingga 42 tahun.

“Tangkapan pertama melibatkan empat lelaki dan seorang wanita di sebuah bengkel berhampiran Jalan Pending kira-kira jam 10.30 pagi.

“Operasi kedua menyerbu sebuah bengkel yang sedang beroperasi melibatkan dua pekerja lelaki sekitar jam 12 tengah hari,” jelasnya dalam kenyataan semalam.

Tambahnya, kesemua suspek yang ditahan gagal memberikan alasan sah serta melanggar PKP kerana membuka perniagaan bengkel pada hari yang tidak dibenarkan oleh kerajaan.

Katanya, mereka ditahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempat jangkitan) (No. 3) 2020 dan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Tegasnya, polis akan sentiasa membuat rondaan dan pemantauan secara berterusan bagi memastikan arahan PKP dipatuhi sepenuhnya.

Orang awam turut digesa untuk membantu menyalurkan maklumat berkaitan salah laku jenayah khususnya di sekitar kawasan Kuching.