MIRI: Polis menahan tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di Piasau Jaya, di sini pada petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Hakemal Hawari mengesahkan insiden pergaduhan tersebut yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang.
Katanya, insiden tersebut adalah rentetan daripada kejadian seorang peguam terkenal di Miri mendakwa dirinya diserang oleh seorang lelaki yang beliau kenali ketika sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumah dan menyebabkan dirinya cedera ringan akibat serangan tersebut.
Beliau berkata, ekoran daripada kejadian tersebut, adik mangsa telah mengambil tindakan mengesan penyerang tersebut bersama beberapa orang rakannya dan berlaku pergaduhan yang mengakibatkan kerosakan kepada harta benda serta kecederaan.
“Pihak polis yang tiba di tempat kejadian terpaksa melepaskan tembakan di udara untuk meleraikan pergaduhan serta meredakan keadaan.
“Kesemua yang terlibat dalam pergaduhan tersebut telah membuat laporan polis dan mereka yang terlibat
ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Miri untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Hakemal, pergaduhan tersebut turut dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian dan tular di media sosial.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan rakaman pergaduhan tersebut kerana ia akan mengundang kegusaran kepada masyarakat serta membawa kepada tafsiran yang negatif kepada semua pihak.
Jelasnya, mana-mana individu yang didapati menularkan video tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Katanya, tindakan juga boleh diambil di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, jika sebarang spekulasi dibuat dengan tujuan untuk mengamcam keamanan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepada masyarakat agar tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang.
“Tiada siapa dibenarkan dalam undang-undang untuk menggunakan kekerasan, gangsterism dalam menyelesaikan pertelingkahan di antara pihak tanpa mengira latarbelakang mereka.
“Sebarang kejadian jenayah yang berlaku harus dilaporkan dengan segera kepada pihak polis untuk siasatan dan
tindakan lanjut, jelasnya.
Katanya, pergaduhan ini dapat dielakkan jika semua pihak berfikiran secara rasional dan masyarakat diminta memberi ruang kepada polis untuk menyiasat dengan lebih lanjut insiden ini.
Beliau berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian ini diminta untuk menyalurkan kepada BSJD Miri.