ARTIKEL

Tujuh juta batang rokok putih tidak bercukai dirampas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebuah lori rigid kargo am membawa tujuh juta batang rokok putih pelbagai jenis tanpa cukai kastam dirampas menerusi Op Kontraban di Miri pada Rabu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, lori kargo berkenaan ditahan di tepi jalan Kuala Baram Bypass, kira-kira jam 9.40 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak.

Katanya, tiga lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30-an dan 40-an turut ditahan dalam serbuan tersebut.

“Pemeriksaan di dalam lori tersebut menjumpai rokok pelbagai jenis yang dipercayai tidak bercukai.

“Hasil pemeriksaan dan rampasan telah menjumpai sebanyak 4.3 juta batang rokok Era Full Flavor, 2.6 juta batang rokok Era Black Menthol dan 100,000 batang rokok Era Menthol,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM7.83 juta.

“Kesemua rampasan dan tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Beliau berkata, kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU